Juara baru atau takhta kekal milik Sepanyol?

PERTEMUAN final awal pagi esok (waktu Malaysia) antara Itali dan Sepanyol di Kiev, ibu negara Ukraine, merupakan persaingan antara juara kejohanan Piala Dunia 2006 dan 2010.

Dua gergasi bersaing di Stadium Olimpik untuk menentukan juara Euro  edisi 2012.

Sepanyol mahu mencipta nama sebagai negara yang memenangi tiga gelaran penting lagi berprestij secara berturut-turut – Euro 2008 dan Piala Dunia 2010 dan mahu mengekalkan Euro 2012.

Sebelum kejohanan Euro 2012 bermula, bekas penyerang Barcelona dan England, Gary Lineker berkata, “La Furia Roja” atau “Red Fury” – panggilan kepada Sepanyol, hanya kurang satu trofi bagi memperkukuhkan kegemilangan.

“Jika mereka menang tiga kejohanan berturut-turut, ia sesuatu yang pasukan lain tidak pernah melakukan,” kata Lineker dipetik laporan CNN.

Persaingan memburu mahkota kejuaraan Euro 2012 tinggal beberapa jam lagi.

Bancian Sinar Harian Online setakat jam 9.30 malam ini menunjukkan 53 peratus daripada 1,463 peminat memilih Itali. Baki memihak kepada Sepanyol.

Bancian peringkat awal menunjukkan Jerman menjadi pasukan pilihan tetapi ia tersingkir di peringkat separuh akhir. Sepanyol berada di tangga kedua. Tetapin Itali pula menjadi pilihan ramai setakat ini.

Di peringkat persaingan grup, penyandang juara Sepanyol yang turut berada bersama Itali, Croatia dan Republik Ireland dalam Kumpulan C memulakan perlawanan pertama yang kurang memberangsangkan apabila sekadar seri 1-1 dengan Itali,  ketika Croatia megah dengan kemenangan 3-1 menewaskan Ireland.

Berdepan kritikan dan status penyandang juara, Fernando Torres atau El Nino terus menutup mulut pengkritik dengan dua jaringannya berjaya membantu Sepanyol menewaskan Ireland 4-0. Skuad La Roja terus mempamerkan taring  apabila menjinakkan semangat Croatia 2-1 dalam perlawanan akhir dan melayakkan barisan pemain Vincente del Bosque ke saingan suku akhir.

Mengiringi Sepanyol ke suku akhir dari kumpulan C ialah Itali – pasukan yang dilanda pelbagai masalah kecederaan pemain di awal perjalanannya ke Euro 2012. Namun keputusan seri 1-1 dengan Sepanyol bukti  pasukan Itali tetap menjadi calon untuk menjuarai kejohanan kali ini.

Seri dalam perlawanan kedua menentang Croatia sebelum berjaya menewaskan Ireland 2-0 dalam perlawanan terakhir ketika Croatia turut kalah kepada Sepanyol membuka jalan buat skuad Azzurri melangkan ke suku akhir.

Selepas mengharungi perjalanan sukar dalam saingan di peringkat kumpulan, The Azzurri terus memperlihatkan kekuatannya selepas menyingkirkan pesaing di suku akhir sebelum menjinakkan The Team.

Kali ini, watak “Super Mario”  terus menjelma memberikan kesan positif selepas berjaya menjaringkan gol melalui tandukan dan sepakan deras menewaskan penjaga gol Jerman Manuel Neuer pada babak pertama. Jerman cuba bangkit mencari gol penyamaan  namun ketangkasan penjaga gawang Itali, Gianluigi Buffon memusnahkan hasrat anak didik Joachim Loew yang hanya mampu menjaringkan satu gol melalui sepakan penalti di hujung saingan.

Kini saingan Euro 2012 semakin mendebarkan!

Sepanyol yang tidak pernah kalah dalam saingan Euro 2012 di peringkat kumpulan berhadapan dengan pasukan Itali yang penuh misteri walaupun pada awal persembahan dalam kumpulan C.

Ibarat perlawanan ulangan pertama Kumpulan C yang berkesudahan seri 1-1 pada 11 Jun lalu, kedua pasukan ini bakal berentap sekali lagi dan kali ini tiada lagi keputusan seri kerana juara bakal baru akan muncul atau masih berada  di genggaman Sepanyol.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview