Kaji semula AES – BNBBC

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Abdul Rahman Manan berkata, sebahagian ahli kelab itu mahu kerajaan  menimbang dan memperhalusi pelaksanaan Sistem Pengkuatkuasaan Automatik (AES).

“Dalam BNBBC kita masih belum ada pendirian. Apa yang berlaku ialah ahli-ahli Parlimen menyuarakan pendapat setiap individu. Tidak ada mesyuarat khusus untuk kita membincangkan isu AES.

“Sebenarnya isu ini agak rumit sedikit. Ada yang menyokong, tidak ada yang membantah tetapi ada yang meminta supaya AES ini diperhalusi, letaklah lebih papan tanda. Ada yang meminta di kawasan-kawasan yang ada 30, 40 meter ini diletakkan AES,” ujar beliau yang juga Setiausaha Umno Sabah.

Sementara itu, Abdul Rahman ketika diminta mengulas menambah, beliau secara peribadi merasakan AES ini adalah cara terbaik dalam mengurangkan kadar nahas jalan raya di negara ini.

“Sudah tiba masanya kita mengenakan syarat-syarat seperti ini. Dari segi pendidikan kita sudah buat. Inikah sahaja caranya? Sebab 7,000 kematian berlaku di atas jalan raya kita,” katanya.

Kelmarin, empat Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.

“Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview