Kakitangan KEMAS Kekal – Rina Harun

BANTING, 7 Jun  — Jawatan 17,539 kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berstatus kontrak dan tetap daripada pelbagai jurusan dan gred dikekalkan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun.

Beliau berkata setiap kakitangan diminta melaksanakan tugas hakiki masing-masing terutamanya guru-guru dengan memberi fokus kepada tugas pengajaran.

“Kesemua kakitangan Kemas diambil melalui lantikan SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) namun kami mendapati kira-kira 600 daripada mereka aktif dalam politik untuk parti tertentu,” katanya selepas membuat lawatan ke Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas Kampung Olak Lempit di sini hari ini.

Sekiranya  mereka masih mahu aktif terlibat dalam politik, mereka  akan diberi “kata dua” sama ada mahu kekal sebagai guru atau melepaskan jawatan tersebut, katanya.

Rina berkata pertemuan dengan semua kakitangan Kemas akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri  yang antara lain bertujuan untuk memperjelaskan arahan tersebut. 

Dalam pada itu, Rina berkata silibus baharu untuk pendidikan di Tabika Kemas akan diperkenalkan  tahun depan.

“Kajian pihak luar akan diambil kira dalam penyediaan silibus baharu ini yang mana antara lain penggunaan Bahasa Inggeris akan diberi penekanan di kalangan kanak-kanak Tabika Kemas.

“Pendidikan aliran Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik juga akan diperkenalkan melalui pendekatan belajar sambil bermain untuk tujuan pendedahan untuk anak-anak bersedia memasuki Tahun Satu,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview