imageKatanya, program yang dianjurkan selepas 10 hari perhimpunan Bersih yang menjadi pentas mengutuk dan menghina kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu secara tidak langsung dapat menggerakkan kempen #tolakfitnahmediasosial.

Nazir berkata, program yang di­rasmikan sendiri oleh Najib mendapat penyertaan kira-kira 8,000 peserta walaupun bayaran yang dikenakan RM35 setiap seorang dan perlu membawa basikal masing-masing untuk menyertainya.

Program anjuran oleh Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) Pemuda UMNO Malaysia itu juga sebagai serampang dua mata untuk mengajak rakyat supaya menzahirkan perasaan benci dan menolak fitnah yang melampau di media sosial.

“Sesebuah negara yang aman makmur serta harmoni boleh menjadi huru-hara akibat fitnah dan penipuan menjadi-jadi ketika ini. Lihat sahaja insiden kemalangan di Jalan Ku­ching baru-baru ini diviralkan sebagai jambatan runtuh dan semua itu menjadi hidangan kepada rakyat.

“Malah keharmonian kaum juga tercalar akibat fitnah melampau di media sosial. Itu belum lagi kepe­mimpinan negara dijadikan sebagai bahan serangan bertali arus tanpa sebarang bukti yang nyata,’’ kata Nazir yang juga Pengerusi HELP.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab Pemuda UMNO untuk mempertahankan parti yang dicintai dan pemimpin yang di­sayangi.

Beliau berkata, penyertaan program itu juga membuktikan bahawa ada golongan rakyat tidak kisah mengeluarkan wang asalkan dapat bersama dengan pemimpin serta program yang dianjurkan itu kena dengan minat mereka.