Kedah Sedia Berbincang Dengan Negeri Jiran Berhubung Isu Air

JITRA, 24 Jun– Kerajaan Kedah sedia berbincang dengan kerajaan Pulau Pinang dan Perlis berhubung isu pembalakan di Ulu Muda, Sik  dalam usaha melindungi kawasan itu dan mengekalkannya sebagai kawasan tadahan air untuk kepentingan bersama.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, perbincangan itu juga termasuk permintaan pampasan daripada kerajaan pusat sebagai ganti premium hutan untuk pembalakan berikutan Kedah tidak mempunyai sumber pendapatan lestari seperti minyak dan gas yang ada pada negeri lain.

“Air adalah satu aset yang besar bagi negeri Kedah dan kita akan pastikan bekalan itu berpanjangan kerana ia bukan sahaja untuk kegunaan penduduk di Kedah tetapi juga di Pulau Pinang dan Perlis dan kita boleh duduk bincang berhubung perkara itu dan kita pun tahu di mana punca masalah pembalakan ini, dan saya ingat Kedah boleh selesaikan.

“Keduanya mengenai pampasan, menerusi perjumpaan saya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad petang semalam (Sabtu) beliau bersedia memberi perhatian sewajarnya kepada permintaan kerajaan negeri kerana sangat memahami kita sudah banyak berkorban menyumbang kepada jaminan bekalan makanan negara iaitu beras,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Pakatan Harapan di Dataran Darul Aman di sini, hari ini.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan meminta kerajaan pusat memberikan peruntukan  dalam bentuk geran bagi membangunkan infrastruktur bekalan air ke kawasan pedalaman di Kedah seterusnya ke Pulau Pinang dan Perlis.

“Sebelum ini yang berlaku ialah bantuan (peruntukan) yang kita dapat itu dalam bentuk pinjaman, ia membebankan kerajaan negeri di mana hutang kita kepada kerajaan persekutuan yang melibatkan pembangunan infrastruktur air sudah mencecah melebihi RM2 bilion.

“ Jadi ini antara perkara yang kita nak runding dengan kerajaan pusat yang pertamanya untuk menghapuskan sebahagian besar hutang-hutang yang mana kita rasa munasabah dan tidak membebankan kerajaan negeri,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mahu perbincangan dengan Kedah dan kerajaan persekutuan diadakan berhubung isu pembalakan di Ulu Muda yang menjadi ancaman kepada kawasan tadahan air di Empangan Muda.

Katanya kawasan tadahan air di Empangan Muda, Ulu Muda yang menyalurkan air ke Kedah, Pulau Pinang dan Perlis itu semakin mengecil dan dibimbangi tiga negeri berkenaan akan menghadapi risiko krisis air di masa hadapan.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview