Kelantan Raih Kemenangan Pertama Tewaskan JDT

KUALA LUMPUR, 17 Ogos  — Kelantan memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri dengan menumpaskan juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 dalam perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia 2018, malam ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu, tuan rumah memperoleh gol tunggal perlawanan pada masa tambahan sebelum rehat hasil sepakan penalti penyerang import Cristiano Marcolina Santos.

Sepakan penalti itu diberikan pengadil perlawanan, Shuaimi Mat Hassan selepas pemain pertahanan JDT, Marcos Antonio Santos melakukan kekasaran terhadap penyerang Kelantan Mohammad Imran Samso dalam kotak penalti. 

Selepas rehat, pasukan pelawat lebih banyak menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan ke arah gawang pasukan tuan rumah bagi mencari jaringan penyamaan, namun ketangkasan penjaga gol Mohamad Faridzuean Kamaruddin berjaya menyelamatkan pintu gawang daripada dibolosi.

Namun pada masa tambahan sebelum tamat permainan, dua pemain Kelantan – Mohamad Hakimi Abdullah dan Cristiano Marcolino Santos dilayangkan kad merah, masing-masing kerana membantah keputusan pengadil dan menimbulkan kekecohan.

Sementara itu di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka, perlawanan Kumpulan B antara Melaka United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Walaupun separuh masa pertama tanpa jaringan, penyerang PDRM Woon Sub Sim berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-49 dengan menyempurnakan sepakan penalti diberikan pengadil Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim, selepas pertahanan Melaka, Stevan Gary Harvey Thicot mengasari pemain tengah PDRM Shunsuke Nakatake dalam kotak penalti.

PDRM menambah gol kedua pada minit ke-78 apabila pemain gantian Mohamad Nabil Ahmad Latfi berjaya menewaskan penjaga gol Melaka United Khairul Fahmi Che Mat.

Pasukan tuan rumah berjaya merapatkan jurang pada minit ke-85 menerusi penyerangnya, Ifedayo Olusegun.

Penyerang Melaka Yahor Zubovich muncul penyelamat pasukannya apabila menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan babak kedua, menyaksikan kedua-dua pasukan memperoleh satu mata daripada perlawanan malam ini.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview