Kembara Merdeka Bukan Sekadar Kembara Kosong Atau Makan Angin

KUANTAN, 12 Ogos  — Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 yang disertai 133 peserta dengan menjelajah pelosok negara sejauh 6,100 kilometer bukanlah satu kembara kosong yang hanya bersifat syok sendiri atau makan angin.

Sebaliknya, peserta menyifatkan kembara itu sebagai antara sumbangan kecil  mereka kepada negara untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan tanah air terutama di kalangan generasi muda.

Timbalan Presiden Kelab Motor ST1300 MMC, Mohd Arifin Idris, 59, berkata penyertaan kali kedua dalam kembara tersebut memberi makna kepada dia dan rakan-rakannya.

“Seramai 30 anggota kelab meluangkan masa dan tenaga hampir sebulan sejak 4 Ogos lalu untuk bersama-sama menyemarakkan lagi kempen kibar Jalur Gemilang di seluruh negara.

“Kita mahu menyemarakkan lagi rasa cintakan negara kepada setiap lapisan masyarakat terutamanya generasi muda melalui usaha mengibarkan bendera. Lebih bermakna, ia diadakan pada bulan kemerdekaan ini dan kita bersama-sama menghayati erti kebebasan dan kemakmuran yang dinikmati sehingga hari ini,”

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada majlis pelepasan Program Kembara @ Komuniti dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 di sini hari ini yang disempurnakan  Pengarah Penerangan negeri Mohd Salmun Mustafa.

Seramai 133 peserta daripada 15 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memulakan perjalanan hari ke sembilan hari ini dari Kuantan ke Rompin dan seterusnya singgah  di Mersing melibatkan jarak keseluruhan 137 kilometer.

Sementara itu, Salmun berkata perasaan hormat kepada Jalur Gemilang boleh dizahirkan dengan  memainkan peranan menggantikan bendera yang rosak atau mengutipnya jika nampak ia terjatuh.

Menurutnya, segenap lapisan masyarakat perlu memahami kepentingan bendera terhadap sesebuah negara sebagai panji yang mesti dipertahankan dalam sebarang bentuk dan keadaan.

“Penghormatan terhadap Jalur Gemilang juga melambangkan perasaan kasih dan sayang kepada negara ini. Umpamanya kalau bercinta, kita memberi bunga kepada pasangan sebagai tanda kasih.

“Begitu juga dengan bendera perlu diberi nilai dan penghormatan kerana ia merupakan simbol serta lambang kedaulatan negara tercinta,” katanya.

Katanya Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan maruah negara yang mesti dihormati pada setiap masa oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama serta kaum. -Bernama

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview