Kemelut Di Selangor Adalah Pergolakan Pakatan Pembangkang

Kuala Lumpur – Krisis dalaman kepimpinan PKR yang mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor semakin terdedah dan tidak mampu disembunyikan lagi yang mana ia bukanlah pergolakan di peringkat atasan sahaja tetapi telah menular ke akar umbi, kata penganalisis politik tempatan, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam.

Katanya, sekiranya sebelum ini anggota kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berselindung dan cuba menutup kepincangan yang berlaku tetapi sejak kebelakangan ini ia semakin terdedah lantaran wujudnya kerakusan dan sikap meletakkan kuasa lebih daripada segala-galanya.

“Apa yang berlaku ini sebenarnya bukanlah membabitkan anggota PKR semata-mata tetapi ia adalah pergolakan dalam pakatan pembangkang secara keseluruhannya iaitu Pas dan DAP biarpun nampaknya Pas mendiamkan diri tetapi banyak isu yang berbangkit sama ada berkaitan moral dan agama telah gagal dijawab untuk menunjukkan ketegasan parti yang menggunakan nama Islam.

“Namun begitu, sebenarnya pertelingkahan yang berlaku ini lebih kepada permainan dalaman yang tentunya melibatkan DAP di mana mereka menggunakan bangsa Melayu kepada perpecahan dan pertelingkahan yang secara tidak langsung akan memberi keuntungan serta memperkuatkan DAP kononnya parti yang teguh dan konsisten,” katanya.

Katanya, apabila bangsa Melayu bergaduh sesama sendiri lantaran mahu menduduki jawatan tertinggi sebagai pemimpin negeri maka ada parti lain yang cuba berlagak efisyen dan menangguk di air keruh melihat pertikaian yang berlaku.

“Inilah masalahnya apabila kepentingan diri diutamakan sehinggakan tanggungjawab dan perjuangan bangsa tidak difikirkan sebagaimana Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang gagal memberi jawapan apabila dikaitkan dengan akaun berbilion ringgit.

“Pergolakan di Selangor ini muncul lantaran kerakusan Anwar sendiri untuk berkuasa yang kalau boleh, dia sendiri mahu menjadi Menteri Besar menggantikan Khalid Ibrahim tetapi barangkali ‘segan’ dan ‘nampak sangat’ sebab sebelum ini dia telah meminta isterinya berundur untuk membolehkannya masuk ke Parlimen sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.”

Jelasnya, sebab itulah, Azmin diletakkan sebagai ketua PKR Selangor sedangkan Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar tidak mempunyai kuasa dalam parti sebaliknya hanya melaksanakan tugas-tugas pentadbiran negeri dalam keadaan yang amat terbatas.

“Ada adu-domba yang wujud dalam pentadbiran tersebut sama ada antara parti dan juga kerajaan negeri kerana apa yang dilaksanakan tidak selaras biarpun PKR menerajui kepimpinnya iaitu Khalid selaku Menteri Besar tetapi dilihat Azmin lebih berkuasa untuk menentukan hala tuju parti.

“Ini belum lagi dilihat berkaitan komplot yang berlaku antara Azmin dan Wan Azizah sendiri kerana imej selaku Presiden parti semakin tenggelam. Apatah lagi Anwar terpalit dengan pelbagai tuduhan peribadi yang didedahkan sendiri oleh bekas kawan-kawannya yang telah mengenalinya puluhan tahun sebagaimana Nallakarupan, Ezam Mohd Nor, Anuar Shaari, Zulkifli Nordin serta ramai lagi dan yang tinggal sekarang ini cuma Azmin sahaja.”

Tegasnya lagi, sewajarnya apa yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor ini menjadi iktibar bukan saja kepada ahli-ahli UMNO tetapi lebih penting kepada orang Melayu keseluruhannya dalam meletakkan penilaian apabila kepentingan peribadi iaitu kuasa, pangkat dan kedudukan diletakkan melebihi kepentingan rakyat apatah lagi agama, bangsa dan negara.

“Bayangkanlah bagaimana seorang Presiden sebuah parti yang menggunakan nama Islam seperti Hadi Awang sanggup menyuarakan cadangan untuk menggantikan perkataan Islam dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia dengan Addin sedangkan Islam adalah agama yang jelas sedangkan Addin adalah cara hidup yang terkandung di dalam Islam.

“Inilah contoh orang Melayu yang sanggup menggadaikan agama Islam dan bangsa sendiri yang tentunya akibat diperkudakan oleh parti yang memperjuangkan Malaysian Malaysia iaitu DAP,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, apa yang pasti tidak ada parti yang benar-benar jelas asas dan tujuan perjuangannya sebagaimana dilaksanakan oleh UMNO iaitu sebuah parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

“Kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menegaskan akan mempertahan kesucian agama Islam dan memastikan budaya songsang seperti amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak mendapat tempat di negara ini. Inilah pemimpin yang benar-benar membina bangsa dan mempertahankan agama kita.”

Justeru, beliau memaita rakyat agar tidak mengambil mudah berkaitan pertelingkahan pakatan pembangkang tetapi apa yang lebih utama adalah memastikan kekuatan UMNO dan memberi keyakinan kepada rakyat untuk kembali merampas negeri-negeri di dalam pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview