Kementerian Kaji Tambah Dana Pinjaman Pendidikan MARA – Rina

KAJANG, 3 Julai — Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan mengkaji  kemungkinan menambah dana pinjaman pendidikan  untuk pelajar tajaan Majlis  Amanah Rakyat (Mara).

Menterinya Rina Mohd Harun berkata walaupun kewangan negara pada ketika ini tidak memberangsangkan sehingga  kerajaan terpaksa melakukan penjimatan, kementeriannya akan terus memberi keutamaan kepada sektor pendidikan.

“Sehingga kini, Mara menaja  42,000 pelajar dengan peruntukan kira-kira RM2 bilion. Penambahan dana untuk pinjaman pendidikan masih dalam peringkat perancangan, justeru kementerian akan berbincang  dengan Ketua Pengarah Mara Datuk Azhar Abdul Manaf dari semasa ke semasa mengenai perkara ini.

“Saya secara peribadi berpendapat pinjaman pendidikan harus diteruskan malah  ditingkatkan  dalam memastikan Mara melahirkan lebih ramai graduan berkualiti dan memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Pendidik Mara 2018, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya Rina mencadangkan agar penguasaan bahasa ketiga diperluaskan kepada bahasa-bahasa antarabangsa lain seperti Mandarin, Jepun, Korea, Jerman, Perancis dan bahasa-bahasa lain yang bersesuaian.

“Penguasaan bahasa ketiga penting kerana penguasaan teknologi dan ekonomi dunia bukan  hanya  dikuasai  negara yang rakyatnya bertutur dalam bahasa Inggeris seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada tetapi turut dikuasai negara yang tidak bertutur dan menulis dalam bahasa  Inggeris  seperti China, Jepun, Korea, Jerman, Rusia dan Perancis,” katanya.

Dalam pada itu, Rina menyeru Mara merangka kursus-kursus bagi memperkasa bahasa Inggeris dalam kalangan pelajarnya secara berterusan dalam usaha melahirkan graduan berkualiti.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview