71438681932_RINGGITBeliau berkata, paras ringgit pada masa ini yang didagangkan sekitar RM4.36 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) adalah berada di bawah nilai sebenar mata wang itu.

Jelasnya, paras ringgit tidak menggambarkan asas ekonomi Malaysia yang sebenar dengan kedudukan lebihan akaun semasa, kadar pengangguran tiga peratus dengan inflasi yang masih di dalam lingkungan purata jangka masa panjang.

“Pertumbuhan eksport negara masih lagi kukuh, dan ia tidak pertumbuhan perlahan seperti yang kita jangkakan sebelum ini,” katanya ketika ditemubual Bloomberg di Kuwait City semalam.

Berdasarkan rekod, imbangan perdagangan Malaysia pada Ogos mencecah RM10.2 bilion dan RM9.7 bilion pada September iaitu dua jumlah yang tertinggi secara bulanan dalam tahun ini.

Mengenai langkah Rizab Persekutuan AS yang mahu menaikkan kadar faedah dan kesannya kepada ringgit, Zeti berkata, hal itu telah dijangkakan oleh para pelabur dan faktor itu sendiri telah diambil kira di dalam nilai ringgit pada masa ini.

Katanya, kesan langkah bank pusat AS itu juga dapat disaksikan ketika ini apabila berlakunya aliran keluar modal asing pada masa ini. Menurut anggaran firma penyelidikan MIDF Research, dalam tahun ini sehingga akhir minggu lalu sejumlah RM17.4 bilion dana asing telah dikeluarkan daripada pasaran saham tempatan.

“Kami percaya pelabur ini, apabila menilai semula portfolio pelaburan masing-masing mereka akan kembali menempatkan semula dana mereka di pasaran yang berkembang pesat dan Malaysia adalah negara yang terletak di pasaran yang berkembang pesat itu,” katanya.

BNM akan mengumumkan prestasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini esok. Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini dan 4.9 peratus pada suku kedua.

Zeti sebelum ini berkata, tiada tambatan ringgit akan dilakukan sama seperti dilaksanakan semasa krisis kewangan 1998, kerana kemerosotan nilai mata wang ketika ini turut dihadapi oleh negara-negara lain terutama negara pengeksport komoditi.

Ringgit pada 29 September lalu mencecah paras RM4.45 berbanding dolar AS iaitu terendah sejak 1998. Pada Januari 1998, ringgit mencecah rekod terendah iaitu RM4.88 sebelum kerajaan pada masa itu menguatkuasakan tambatan pada RM3.80 berbanding dolar AS.