Kepentingan Rakyat Adalah Keutamaan Dan Perancangan BN- Sapawi

Beaufort, 19 Julai- Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan penduduk luar bandar bagi menikmati kemajuan dan pembangunan.

 

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata perancangan pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN adalah menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada kawasan bandar atau untuk kepentingan seseorang.

“Kepentingan rakyat yang menyeluruh adalah diutamakan dan perancangan BN tetap tidak mengetepikan penduduk luar bandar,” katanya pada pertandingan seni suara Kawasan Rukun Tetangga Kampung Mintulud di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Pegawai Perpaduan Beaufort Awang Anak Abdul, Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Sipitang Matbali Musah dan Pengerusi KRT Kg Mentulud Sani Mokhsin.

Sapawi berkata pembangunan dan kemajuan yang dlaksanakan itu dipastikan memenuhi kepentingan rakyat tanpa mengira anutan agama dan juga suku kaum.

Katanya usaha itu juga menitikberatkan keutamaan dan juga kepentingan yang diperlukan oleh rakyat.

“Usah terpedaya dengan pembangkang yang menghebahhebohkan fitnah dan dakyah…Kerajaan BN tidak memperbodohkan dan mempergunakan rakyat…kita bukannya pembangkang yang berjuang untuk kepentingan diri dan mahu memperbodoh serta mempergunakan rakyat,” katanya lagi.

Sapawi yang juga Ketua UMNO Sipitang menegaskan dalam melaksanakan pembangunan dan kemajuan mengikut perancangan, perpaduan serta persefahaman rakyat turut diutamakan.

Katanya keharmonian dan kemakmuran tidak akan dapat dinikmati jika rakyat saling bertelagah dan bersikap mementingkan diri sendiri. Justeru itu, katanya, RT kampung tersebut perlulah memainkan peranan bagi memastikan persefahaman dan perpaduan penduduk tidak tergugat.

“Awas dengan anasir-anasir yang cuba memecahbelahkan perpaduan serta persefahaman rakyat…segala perselisihan selesaikan dengan semangat kekeluargaan,” katanya lagi.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview