Keputusan Tinggalkan BN Atas Pengetahuan, Percaya Dibuat Demi Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Barisan Nasional (BN) Pusat amat memahami keputusan yang dibuat oleh parti-parti komponen di Sarawak yang meninggalkan BN dan membentuk gagasan baru iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Pengerusi Biro Media dan Komunikasi BN, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, keputusan tersebut adalah kerana ia sejajar dengan keperluan menangani situasi politik di negeri itu.

“Justeru, BN Pusat cukup berlapang dada walaupun berat hati untuk menerima keputusan parti-parti politik di negeri itu untuk tidak lagi menganggotai BN yang mencapai kejayaan besar pada PRN Sarawak 2016. BN menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

“BN Pusat amat memahami kedudukan dan pendirian yang diambil oleh parti-parti komponen BN Sarawak untuk membentuk satu gagasan baru iaitu GPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, sesungguhnya bibit-bibit awal kepada cadangan komponen BN Sarawak membuat penjajaran lanskap politik baru pada hari ini sebetulnya adalah dalam pengetahuan BN Pusat.

“BN Pusat percaya keputusan politik yang pragmatik itu dibuat setelah difikirkan dengan mendalam berdasarkan keutamaan kepentingan negeri dan rakyat Sarawak dalam kedudukan situasi politik semasa tanah air.

“BN Pusat akan terus menjalinkan hubungan yang baik dengan semua parti politik dalam negara lebih lebih lagi parti-parti yang mendukung prinsip perjuangan yang sama walaupun berada dalam gagasan yang berbeza.”

Sehubungan itu katanya, BN mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan dan parti komponen BN Sarawak atas segala kerjasama dan kesepakatan sepanjang perjuangan bersama .

“Ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak yang selama ini memberikan kepercayaan yang tidak berbelah-bahagi kepada Kerajaan BN.

“BN Pusat mengucapkan selamat maju jaya kepada GPS dalam meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat dan Negeri Sarawak.”

Tengahari tadi, Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan dalam sidang media Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) keluar dari BN dan membentuk gagasan baru.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview