Kerajaan Harus Perkasa Dasar Tahfiz Negara Bukan Tutup Sekolah Tahfiz

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat kesal dan kecewa dengan gesaan untuk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menutup sekolah-sekolah tahfiz yang kononnya tidak memberi harapan kepada masa depan generasi baru Islam.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kenyataan demikian tidak berasas dan hanya menzahirkan kedangkalan terhadap usaha memartabatkan agenda tahfiz yang sudah dimulakan oleh Kerajaan BN sebelum ini.

Tegas beliau di bawah Kerajaan BN, *Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN)* telah digubal dengan bermatlamatkan untuk melahirkan 125,000 Huffaz Profesional dalam tempoh 30 tahun akan datang. Mereka ini bukan sahaja berupaya menghafal 30 Juzuk Al-Quran, malah mampu menguasai pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran teknikal.

Untuk itu jelasnya lagi, kerajaan lalu juga sudah memulakan program perintis di 31 buah Sekolah Menengah Agama dan Sekolah Berasrama Penuh, dan 4 buah MRSM di bawah Kurikulum Baru Tahfiz Ulul Albab.

” Semua usaha ini digerakkan atas kesedaran dan semangat untuk membangunkan generasi baru Islam yang seimbang dengan ilmu duniawi dan ukhrawi dan mampu menerajui kecemerlangan negara masa depan tanpa sedikitpun berorientasikan politik.

“Justeru, Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar Kerajaan PH dapat meneruskan DPTN ini. Kalau pu n ada kelemahan dalam DPTN ini, kerajaan berhak memperkasakannya dan bukannya menghapuskan”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tegas beliau harus diingatkan juga, apa jua keputusan kelak yang menyentuh sekolah-sekolah Tahfiz mesti dirujuk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri-negeri kerana hal ehwal Agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja dan bukannya Menteri Agama. -UMNOOnline

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview