Kerajaan Johor Diharap Iktiraf Pembangkang Seperti Dilakukan Pusat

ISKANDAR PUTERI, 12 Ogos — Kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) diharap memberikan pengiktirafan kepada pembangkang di negeri ini selaras dilakukan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pembangkang Datuk Ir Hasni Mohamad berkata ini termasuk dengan memilih pembangkang mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Raya iaitu sama seperti kerajaan persekutuan memilih pembangkang sebagai Pengerusi Jawatan Kuasa Kira-Kira Parlimen (PAC).

“Saya harap pihak kerajaan negeri juga, kaedah menterjemahkan pengiktirafan terhadap pembangkang itu tidak jauh beza dengan apa yang berlaku di peringkat Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunci bilik Ketua Pembangkang dari Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Suhaizan Kaiat di Aras 1, Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

PH dalam manifesto Membina Negara Memenuhi Harapan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 antara lain menjanjikan akan memilih anggota parlimen pembangkang sebagai Pengerusi PAC.

Mengenai penyediaan bilik Ketua Pembangkang, Hasni yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berharap ia sebagai langkah awal kerajaan PH mengiktiraf peranan Barisan Nasional (BN) dalam menjadi pembangkang yang baik.

“Kita (pimpinan pembangkang) berpendirian ini adalah langkah awal dan bukan hanya menyediakan pejabat saja tetapi kemudahan lain.

“Ia dilihat sebagai cerminan pengiktirafan peranan pembangkang yang terkandung dalam manifesto PH dengan membawa maksud menyokong peranan pembangkang,” katanya.

Hasni bagaimanapun berharap kerajaan negeri benar-benar serius dalam penyediaan bilik itu dan berusaha memberi pengiktirafan dalam bentuk lebih munasabah seperti dilengkapkan dengan kakitangan sokongan.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview