Kerajaan Johor Nafi Bertindak Kejam Tamatkan Perkhidmatan Ketua Kampung

JOHOR BAHRU, 2 Jun — Kerajaan negeri Johor menafikan bertindak kejam terhadap ketua-ketua kampung yang ditamatkan perkhidmatan kerana ia merupakan salah satu langkah penstrukturan semula pentadbiran di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata malahan, kesemua mereka yang berkelayakan dan berkebolehan boleh memohon bagi lantikan semula sekiranya memenuhi kriteria .

“Kita juga terbuka dan pegawai daerah sendiri akan ‘menemu duga’ mereka bersama panel-panel yang lain dan bukannya saya.

Kita tengok kalau benda baik, orang baik, buat apa kita bazirkan. Dia boleh mohon dan kita boleh ambil, kalau dia kata dia tidak layak, maknanya dia tahu diri dia,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan di Masjid As Solehin, Kempas, di sini, hari ini.

Osman berkata walaupun kesemua mereka ditamatkan perkhidmatan, pemberian elaun tetap akan diteruskan iaitu sebanyak RM1,000 seorang sehingga lantikan ketua kampung yang baharu.

“Jadi, tiada isu menyatakan soal kekejaman berlaku pada kerajaan yang ada ini. Janganlah menuduh sebarangan untuk menimbulkan kemarahan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kempas mengulas mengenai kenyataan yang mendakwa kerajaan negeri bertindak kejam dengan menamatkan kontrak 1,700 ketua kampung di negeri ini.

Terdahulu, sebanyak 200 kotak berisi barang makanan disampaikan kepada pesara Askar Timbalan Setia Negeri, ibu tunggal dan asnaf untuk penduduk sekitar Kempas.

Sumbangan disalur menerusi Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview