Kerajaan Optimis Industri Francais Berkembang Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 2 Nov — Kerajaan optimis industri francais negara mampu terus berkembang meskipun berdepan suasana ekonomi global yang kurang memberangsangkan, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Basaruddin Sadali.

banner-awards-2016-new-11-900x382Beliau berkata kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merancakkan pertumbuhan industri francais, termasuk mengadakan promosi di luar negara dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Tahun ini, ada empat program promosi di luar negara, dan yang terakhir akan diadakan Shanghai, China,” katanya kepada pemberita pada sidang media Anugerah Francais Malaysia 2016 (AFM 2016), di sini hari ini.

Beliau berkata destinasi lain untuk program promosi berkenaan ialah Jakarta, Manila dan Melbourne.

Sementara itu, Basaruddin berkata kementerian itu meneruskan Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) dengan peruntukan RM2 juta setahun.

Diperkenalkan dalam Bajet 2015, EFDP bertujuan menambah baik Program Pembangunan Francais, dengan fokus untuk mengembangkan perniagaan francais ke pasaran eksport.

Selain usaha yang dilaksanakan kementerian dan agensi, inisiatif francaisor dan francaisi yang sentiasa melakukan penambahbaikan turut membantu industri mengharungi cabaran ekonomi.

Terdahulu, Basaruddin berkata AFM 2016 yang dianjurkan oleh Persatuan Francais Malaysia dengan kerjasama KPDNKK, akan berlangsung pada 11 Nov.

Program ini akan menyaksikan 17 jenama francais tempatan dan antarabangsa bersaing merebut lima kategori sistem francais dan tiga kategori terbuka, selain kategori utama iaitu Francais Terbaik 2016.

Anugerah kali ini menyaksikan peningkatan pencalonan kepada 66 tahun ini berbanding 45 tahun lepas.

Berita Berkaitan