Kerajaan PH Perlu Teruskan Projek HSR, MRT3 – Najib

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya meneruskan projek  pengangkutan awam seperti Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3) daripada memulakan satu lagi syarikat kereta nasional, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan tidak harus melaksanakan semula langkah-langkah pelindung yang hanya membebankan rakyat dengan harga kereta dan kos pembiayaan yang tinggi.

“Semasa saya menjadi perdana menteri, saya jadikan satu keutamaan untuk mengurangkan harga kereta secara beransur-ansur menerusi pengurangan cukai beransur-ansur dan dengan memperkenalkan insentif sambil memperluas projek pengangkutan awam,” katanya menerusi catatan dalam Facebook dan Twitter hari ini.

Beliau mendakwa susulan itu, harga kereta kini semakin murah berbanding sewaktu beliau mula-mula menjadi perdana menteri manakala penggunaan pengangkutan awam melonjak.

“Bagi jangka panjang, langkah untuk membetulkan masalah legasi masa lalu akan memberi manfaat kepada rakyat dengan penjimatan ratusan bilion ringgit sambil menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih cekap, keberkesanan kos, kurang sesak dan kurang mencemarkan.

“Jangan batal projek-projek pengangkutan awam sedemikian hanya kerana saya yang mulakan dan kembali kepada projek semata-mata atas  faktor  kebanggaan yang akan lebih memudaratkan rakyat,” katanya.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan hasratnya untuk memulakan projek kereta nasional baharu.

Bercakap pada Persidangan Antarabangsa ke-21 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di Tokyo, beliau berkata Proton yang ditubuhkan pada 1983 bukan lagi kereta nasional.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview