Kerajaan Pusat Jamin Bantu Kedah Demi Rakyat – TPM

KULIM, 30 Jun — Kerajaan Pusat memberi jaminan akan terus membantu kerajaan negeri Kedah demi membela nasib rakyatnya termasuklah dalam menyelesaikan  masalah banjir yang sering  berlaku di beberapa  tempat di negeri ini. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata usaha mengatasi masalah banjir akan dilakukan dengan kerjasama semua pihak di peringkat Pusat dan negeri.

“Ini adalah untuk rakyat, yang kita berikan keutamaan selepas kerajaan baharu (Pakatan Harapan) memerintah,” katanya pada Majlis Jamuan Kesyukuran dan Sambutan Aidilfitri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Kedah di Stadium Mini Keladi di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Setiausaha Agung PKR yang juga Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi PKR Kedah Dr Azman Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata penting untuk mengutamakan rakyat kerana mereka yang membuat keputusan termasuk menukar kerajaan di peringkat Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

“Saya sendiri tidak menjangka berlakunya perubahan ini…apa yang penting selepas kita menerajui negara, kita akan memperbaiki setiap kelemahan yang ada,” kata beliau.

Sementara itu, Mukhriz ketika berucap berkata kesungguhan kerajaan Pusat untuk membantu Kedah bukan disebabkan sentimen Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri atau pun beliau sebagai anak kelahiran Kedah.

“Kerajaan Pusat sangat mengambil berat keadaan Kedah kerana susungguhnya negeri ini sangat istimewa,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview