Kesiapsiagaan Hadapi Banjir Pada Tahap Maksimun- Shahidan

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Pasukan keselamatan termasuk sukarelawan berada dalam keadaan bersiap siaga pada tahap maksimum walaupun ramalan bencana banjir pada tahun ini dijangka pada tahap sederhana.

14956464_1351795194831160_6370628176191011942_nMenteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ekoran trend bencana masa kini yang kian berubah dan sukar dijangka, beberapa pendekatan proaktif akan diambil termasuk melakukan pemindahan penduduk sehari lebih awal selain menggerakkan segala keperluan termasuk makanan ke pusat pengumpulan sebelum bencana berlaku.

“Kita lihat pada 2014, kita tidak sangka banjir akan jadi sebesar itu, kita dapat ramalan ia berada di tahap sederhana, jadi sekarang kita gunakan kaedah berbeza seperti pindahkan penduduk lebih awal sebagaimana kita mendapat ramalan air pasang besar baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Lantikan Pegawai Kehormat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kepada anggota Parlimen di Bangunan Parlimen hari ini.

Shahidan berkata pusat pengumpulan barang makanan itu akan ditempatkan mengikut zon melibatkan pejabat APM di negeri-negeri terlibat, daerah dan komuniti.

Sementara itu, seramai 137 anggota Parlimen dan 30 anggota Dewan Negara menerima watikah pelantikan sebagai Pegawai Kehormat APM.

Shahidan berkata pelantikan itu mempunyai tujuan yang eksklusif kepada anggota Parlimen berkenaan dalam meneruskan kelangsungan tugas sebagai pemimpin masyarakat di kawasan masing-masing.

“Anggota Parlimen boleh berperanan menjadi pemudahcara bagi gerak kerja kesedaran keselamatan dan kesiapsiagaan bencana setempat di kawasan mereka.

“Ia juga bagi menjadi contoh teladan kepimpinan melalui pemimpin setempat kepada rakyat dan menggerakkan gelombang rakyat bersama-sama bagi menjamin keselamatan awam melalui semangat kesukarelaan,” katanya.

Pada majlis itu, 19 anggota Parlimen diberikan watikah pelantikan sebagai pegawai kehormat APM antaranya Datuk Seri Richard Riot (Serian), Datuk Seri Joseph Kurup (Pensiangan) dan Datuk Joseph Entulu Belaun (Selangau) yang dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Kehormat.

Anggota Parlimen lain yang turut dilantik ialah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Mary Yap Kain Ching (Tawau), Datuk Halimah Mohamed Sadique (Tenggara), Datuk Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) dan Datuk Henry Sum Agong (Lawas).

Shahidan berkata majlis pemakaian pangkat dan watikah baki anggota Parlimen lain akan diadakan dalam masa terdekat.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview