Ketua Menteri Sabah Sahkan Seorang Tebusan Di Sandakan Dibebaskan

KOTA KINABALU, 9 Nov  — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini mengesahkan pembebasan Thien Nyuk Fun, satu daripada dua suspek yang diculik di restoran makanan laut di Sandakan pada Mei lepas.

Sambil menzahirkan kelegaannya, beliau berkata pembebasan pengurus wanita Restoran Ocean Seafood berusia 50 tahun yang diculik di premis itu, adalah hasil rundingan beberapa bulan serta usaha bersepadu pihak berkuasa daripada pelbagai peringkat.

DATUK SERI MUSA AMAN“Saya berterima kasih kepada mereka (pihak berkuasa) yang bekerja keras untuk membawa pulang Thien.

“Pada masa sama, saya menyeru pihak berkuasa untuk sentiasa berjaga-jaga dan memastikan sempadan negara tidak diceroboh,” katanya dalam satu kenyataan.

Thien diculik bersama seorang pelanggan, Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak pada 14 Mei lepas oleh empat lelaki bersenjata yang menyerbu restoran itu kira-kira pukul 7.45 malam.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Jalaluddin Abdul Rahman berkata Thien dibebaskan kira-kira pukul 10 malam tadi dan telah selamat tiba di Sandakan.

Katanya Thien mengharungi perjalanan menaiki bot selama enam jam dari Jolo, Sulu di Filipina sebelum dapat menemui keluarganya di Sandakan.

“Keadaan mangsa sihat tetapi masih lemah dan letih kerana perjalanan yang jauh, juga (daripada segi) emosi,” katanya.

Jalaluddin berkata usaha juga masih dilakukan untuk membebaskan Then yang sedang makan di restoran yang diuruskan Thien ketika kejadian itu berlaku.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview