Ketua Wanita PKR Tidak Layan Kenyataan Berhubung “Kepimpinannya Tidak Efektif”

KOTA KINABALU, 12 Ogos  — Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin tidak mahu terlibat dalam “perang mulut” dengan calon-calon PKR pada pemilihan parti akan datang, terutama berhubung kenyataan bahawa beliau dianggap “tidak efektif” sebagai ketua sayap wanita parti.

Ketika ditanya oleh pemberita tentang bagaimana perasaannya dituduh kepimpinannya tidak efektif, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata beliau percaya mereka yang menuduhnya adalah mereka yang akan bertanding pada pemilihan parti dan mereka masih “mentah dan tidak menyerlah”

“Oleh itu, saya tidak mahu melayan kenyataan seperti ini.

“Ia tidak penting (kenyataan mengenai kepimpinan Zuraida) kerana apa yang perlu kita lakukan ialah membangunkan dan mengukuhkan parti seperti yang kita lakukan hari ini dalam mengukuhkan kerajaan baharu dan memastikan kita bekerja keras dan kerajaan berjaya memenuhi manifestonya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu mengenai masalah setinggan di bandar, di sini hari ini.

Zuraida, yang akan bertanding jawatan naib presiden, dituduh oleh calon bagi jawatan timbalan Ketua Wanita PKR Faezah Ariffin sebagai tidak efektif dalam kepimpinannya baru-baru ini.


© 2018 Malaysianview