Khairy Cadang Dua Jawatan Baharu Naib Presiden Untuk Perkasa UMNO

KUALA LUMPUR, 20 Jun  — Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin hari ini mencadangkan tambahan dua jawatan naib presiden bagi mewakili wanita dan Sabah sekiranya dipilih sebagai presiden pada pemilihan parti 30 Jun.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata cadangan itu penting bagi menyuburkan amalan demokrasi di dalam parti berusia 72 tahun itu.

“Hari ini seperti ada ‘glass ceiling’ untuk wanita… akan ada Ketua Wanita (jawatan setaraf naib presiden) yang akan menjaga sayap, tetapi seorang lagi boleh bertanding sampai peringkat naib presiden,” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO hari ini.

Beliau berkata keperluan mewujudkan jawatan itu bertujuan mengiktiraf wanita sebagai pemimpin yang boleh berperanan di peringkat nasional selain membantu mencapai 30 peratus penglibatan golongan itu dalam kepimpinan utama parti.

Bagi jawatan  naib presiden untuk Sabah, Khairy berkata ia bertujuan menjaga kedudukan UMNO  dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu, selain menghormati asas penubuhan Malaysia.

Pada masa ini terdapat tiga jawatan naib presiden dalam struktur organisasi UMNO. 

 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview