Khairy: Rombakan mantapkan jentera

KUANTAN, 2 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, hanya kepimpinan Pemuda UMNO di sebuah negeri saja yang akan dirombak bertujuan memperkukuh dan memperkemaskan pergerakan terbabit bagi menghadapi pilihan raya nanti.

Bagaimanapun, beliau enggan menamakan negeri terbabit dan menegaskan ia hanya satu rombakan kecil-kecilan membabitkan kepimpinan pergerakan Pemuda negeri.

“Rombakan hanya membabitkan satu negeri saja, bukan semua atau beberapa negeri seperti dimaklumkan sebelum ini… saya akan beritahu nanti (negeri yang terbabit) dalam masa terdekat ini.

“Setiap apa yang berlaku di semua negeri sentiasa saya pantau kerana kita perlu sentiasa bersedia. Kita juga memerlukan seorang jeneral masa perang, jadi mungkin ada kesesuaian untuk saya membuat rombakan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran BN Pilihan Orang Muda peringkat negeri Pahang yang dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, di sini Ahad.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin; Ketua Puteri UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pemuda UMNO Pahang, Datuk Abu Jimi Samat.

Selain itu mengulas pendaftaran pengundi muda, Khairy berkata, usaha terbabit sentiasa dilakukan pergerakan berkenaan melalui pelbagai program dan kempen yang dijalankan.

“Tahun lalu Pemuda berjaya mendaftarkan kira-kira 100,000 golongan muda namun kami menjangkakan ada tiga juta lagi yang masih belum berdaftar sebagai pengundi.

“Biarpun pelbagai usaha dilakukan termasuk penyediaan meja pendaftaran setiap kali program diadakan namun keberkesanan usaha ini kadang kala terbatas kerana sikap golongan muda terbabit.

“Kita juga tidak boleh memaksa mereka sekiranya tidak mahu berdaftar malah Pemuda juga tidak merasakan parti yang menjadi sebab golongan muda terbabit enggan mendaftarkan diri kerana sekiranya mereka kuat menyokong pembangkang kenapa mereka masih tidak juga mendaftarkan diri sebagai pengundi,” katanya.

Sementara itu ketika berucap pada majlis terbabit Khairy berkata, sokongan golongan muda kini menjadi rebutan antara parti politik berikutan andaian sesetengah pihak yang menjangkakan undi pengundi muda penentu kemenangan pada pilihan raya nanti.

“Pembangkang cuba menarik sokongan golongan muda kononnya mereka akan berikan segalanya percuma, ajak golongan muda sertai perhimpunan sehingga berlaku rusuhan, tapi mereka hanya pandai berjanji. Kita perlu ingat dalam hidup tidak semuanya percuma sebab kalau semua diberi percuma negara tiada duit dan siapa pula yang mahu bertanggungjawab untuk pembangunan masa depan golongan muda nanti,” ujarnya yang juga Pengerusi Pemuda BN Malaysia

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview