Khairy yakin BN boleh menang besar

SHAH ALAM – Pemuda Barisan Nasional (BN) yakin keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), kata ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Kenyataan Khairy itu sekali gus menyangkal ramalan Profesor Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin bahawa BN menang tipis dengan kehilangan 20 kerusi di Parlimen.

Beliau berkata, Pemuda BN menghormati pandangan Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara itu, namun berdasarkan gerak kerja dilakukan  sejak 2008, beliau yakin sokongan terhadap BN  kembali meningkat.

“Itu pandangan beliau sebagai seorang penganalisis politik. Dan sebagai seorang pengamal politik, saya menghormati pandangan dan analisis pihak ketiga, tetapi tak semestinya saya setuju.

“Saya yakin prestasi BN pada PRU13 tidak kurang dari 2008. Malah saya percaya kami akan dapat atasi majoriti yang diperolehi pada 2008,” katanya, semalam.

Khairy berkata, BN tidak mahu terlalu yakin dan leka dengan senario peningkatan sokongan terutama di kalangan pengundi muda dan mahu terus berusaha bersungguh-sungguh dalam PRU13 nanti.

“Walaupun saya tidak mahu leka atau terlalu yakin, kita melihat trend sokongan terhadap BN semakin meningkat terutamanya di kalangan pengundi muda.

“Ini tanda yang baik sebab pada 2008 ramai dalam kalangan segmen pengundi muda tidak menyokong kita. Perubahan ini penting dan akan menyumbang kepada prestasi BN yang lebih baik,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview