Khaled Akan Berjumpa UMNO Perlis

SHAH ALAM: Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan negeri itu dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pertemuan itu penting bagi merungkai kemelut serta ketidakpuasan hati pemimpin tertentu di Perlis berhubung pelantikannya sebagai Pengerusi UMNO negeri yang baharu.

“Saya tidak tahu sejauh mana ketidakpuasan hati UMNO Perlis terhadap diri saya. Saya pun tidak tahu berapa ramai yang bantah pelantikan saya.

“Apa pun kemelut ini perlu diselesaikan segera dan saya sudah mengatur pertemuan dengan kepemimpinan UMNO Perlis. Saya sendiri berharap pertemuan ini akan dapat dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Ceramah Penerangan Barisan Nasional (BN) di Taman Sri Andalas di sini, malam tadi.

Ditanya sama ada beliau kecewa dengan penerimaan UMNO Perlis terhadap dirinya, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden parti berkata, isu ketidakpuasan hati adalah perkara biasa dalam politik.

“Atas sebab itu penting untuk kita semua duduk berbincang. Saya yakin apa yang berlaku ini boleh diselesaikan secara baik,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mendakwa tindakan melantik Mohamed Khaled sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis dilihat satu hukuman kepada kepemimpinan negeri yang tidak memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail berkata, tindakan mengenepikan tiga ketua bahagian di Perlis daripada memimpin UMNO negeri seolah-olah tidak mengiktirafkan keupayaan pemimpin sedia ada.

Sebelum ini Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan meletakkan tiga Naib Presiden UMNO sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Selangor, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Terengganu) dan Mohamed Khaled (Perlis) adalah bersifat sementara.

Keputusan itu dicapai bagi membolehkan parti terus menyusun struktur pentadbiran parti di tiga negeri iaitu Perlis, Selangor dan Terengganu.

Katanya, ketiga-tiga negeri itu gagal mencari penyelesaian berhubung isu kepemimpinan di peringkat negeri masing-masing.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview