Beliau mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi setelah mengunci mulut tidak memberitahu jawatan tertinggi parti yang akan ditandinginya sebelum ini.

Menurut bekas Menteri Besar itu, pencalonannya bertujuan memberikan suntikan dan membawa pembaharuan dalam parti kerama Melayu tersebut selepas apa yang berlaku pada 9 Mei lalu merujuk kepada paska Pilihan Raya Umum ke-14.

“Tanggal 9 Mei adalah peringatan besar bahawa UMNO harus memugar kembali sebuah Malaysia baharu yang terdiri dari masyarakat dengan sebuah impian bersama.

“UMNO harus mempamerkan keyakinan, kekuatan dan keupayaan untuk mendepani cabaran Malaysia di persada domestik, serantau dan antarabangsa.

“Kita wajib memastikan berlakunya pengislahan dalam segala aspek, keupayaan dan tadbir urus. Sebarang kemajuan yang berlaku kepada parti adalah kemajuan kepada kita semua. Tanpa kompromi, tanpa ada yang terkecuali,” katanya.

Ketua UMNO Pasir Gudang itu juga berkata, sesungguhnya UMNO sarat dengan bakat-bakat segar untuk memacu segala kemajuan baharu ini.

“Bertitik tolak dari kesedaran inilah, saya dengan rendah hati menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, sekiranya parti melihat saya layak untuk bersama-sama menjulang dan mengibar panji parti,” ujarnya.