Kita Akur Dan Hormati Proses Undang-Undang, Harap Najib Diadili Sebaik Mungkin

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor, Dato’ Noorazley Yahya menyifatkan rakyat Malaysia khususnya ahli UMNO perlu akur dan hormati dengan proses demokrasi yang sedang berjalan terutamanya dalam soal penahanan dan tuduhan yang ditujukan kepada mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.  

“Sepertimana yang kita sedia maklum, Datuk Najib telah dituduh di mahkamah semalam. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu akur dan hormati proses yang sedang berjalan, saya percaya Datuk Seri Najib akan diadili dengan sebaik mungkin dengan pemilihan barisan peguambela terbaik negara ini.

Walau bagaimanapun, saya menyeru agar masyarakat di luar sana tidak menghukum Datuk Seri Najib terlebih dahulu sehingga perbicaraan diputuskan. Kita harus sama-sama berdoa agar proses mahkamah ini akan berjalan dan diadili dengan sewajarnya,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Beiau juga menyeru akar umbi bersabar dan tidak membuat sebarang ‘konklusi’ berdasarkan laporan media. Adalah tidak adil bagi Datuk Seri Najib dijatuhi hukuman atau diberi persepsi sedemikian yang pra matang sebelum kes ini diselesaikan di mahkamah dengan hanya berpandukan kepada laporan media.

“Pemuda UMNO Kuala Selangor mendoakan supaya keluarga Datuk Seri Najib para penyokong dan ahli UMNO serta Rakyat Malaysia sabar dan tabah menghadapi dugaan yang besar ini.

Semoga Allah s.w.t mempermudahkan segala urusan Datuk Seri Najib serta perjuang UMNO,” tambahnya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview