KJ Serah Pada Marina Tangani Atlet Langgar Perintah

KUALA LUMPUR, 9 Ogos  — Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan menyerahkan sepenuhnya kepada Chef-de-Mission (CDM) Malaysia untuk Sukan Sea 2017, Datuk Marina Chin bagi menentukan nasib dua atlet negara yang didakwa keluar dari kem melepasi tempoh yang dibenarkan minggu lalu.

Walaupun pihaknya telah mendengar dan menerima penjelasan daripada kedua-dua atlet berkenaan, Khairy menegaskan adalah penting bagi setiap atlet untuk menitikberatkan aspek displin yang telah ditetapkan pihak pengurusan.

“Disiplin perlu diutamakan, (jadi) saya serah kepada Datuk Marina, kita punya CDM untuk memastikan perkara ini tidak berulang.

“Kita dah dengar alasan oleh kedua atlet yang telah melanggar displin, kita terima penjelasan mereka. (Bagaimanapun) saya harap pemantauan para atlet di kem dapat dipertingkatkan lagi supaya tidak ada insiden (seumpama ini) terjadi lagi, “katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sesi Meet & Greet Mycorps South Asia di sini Rabu.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo semalam dilaporkan mengesahkan terdapat dua atlet negara iaitu daripada skuad futsal dan badminton melanggar perintah berkurung di Hotel Renaissance Kuala Lumpur yang menjadi penginapan rasmi kontinjen negara.

Lebih 700 atlet berada di hotel berkenaan untuk persiapan terakhir kontinjen negara menjelang Sukan SEA dan sepanjang tempoh penginapan di situ, termasuk ketika temasya itu bermula 19-30 Ogos ini, mereka tidak dibenarkan keluar selepas 11.30 malam.

Mengulas mengenai atlet olahraga wanita negara S. Komalam yang digugurkan kerana masalah displin, Khairy berkata keputusan itu diambil berdasarkan penilaian Jawatankuasa Teknikal yang menguruskan pemilihan atlet.

“Itu adalah kes displin dan keputusan dibuat berdasarkan kepada penilaian pengurus pasukan sendiri, dan didapati beliau (Komalam) adalah atlet yang mengganggu persiapan atlet lain juga.

“Oleh yang demikian kita gugurkan beliau,” katanya, sambil menegaskan perkara itu tidak akan menganggu prospek pingat dalam acara yang disertai atlet berkenaan iaitu acara lari 200 meter wanita dan 4×100 meter wanita, “katanya..

Sebelum ini pengurus pasukan olahraga negara ke Sukan Sea, Datuk Salim Parlan mengesahkan Komalam digugurkan daripada kuartet 4x100m wanita kerana masalah disiplin apabila didakwa cuba mengganggu keharmonian dalam pasukan.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata isu mengenai padang tidak rata untuk acara Hoki Dewan sudah diselesaikan oleh pihak kontraktor yang bertanggung jawab.

“Mereka (kontraktor) sudah perbetulkan permukaan atau lantai permainan indoor hockey dan mereka hanya perlukan empat hari. Sebab itu kita ada perlawanan ujian hari itu untuk uji lantai permukaan, ” katanya..

Berita Berkaitan