KKM Perlukan Hentikan Serbuan Premis Jual Perisa Vape Sehingga Jawatankuasa Buat Keputusan

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus menghentikan buat sementara waktu serbuan ke atas premis menjual cecair perisa rokok elektronik (vape) sehingga jawatankuasa yang ditubuhkan kementerian itu bagi menyelesaikan isu berkaitan vape membuat keputusan mereka.

vapeBeliau juga menyifatkan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerbu premis menjual cecair berperisa untuk rokok elektronik (vape) baru-baru ini sebagai terburu-buru.

“Sekarang KKM sudah mengumumkan jawatankuasa khas ditubuhkan jadi kita berharap sehingga jawatankuasa ini bermesyuarat dan buat keputusan jangan diteruskan ramapasan terhadap kedai,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pusingan akhir Kejohanan Debat Kebangsaan Antara Universiti Malaysia 2015 di sini hari ini.

Hari ini Menteri Kesihatan Datuk Dr S. Subramaniam mengumumkan satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan rokok elektronik yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata jika rampasan hendak dilakukan, pihak KKM perlu mengadakan perbincangan dengan pengusaha terlebih dahulu bagi menerangkan sebab serbuan itu dibuat.

Khairy berkata beliau tidak bermaksud untuk menggalakkan orang ramai khususnya golongan belia untuk menghisap rokok elektronik, tetapi secara peribadi merasakan penjualan cecair berkenaan seharusnya tidak diharamkan sebaliknya diwujudkan satu kawal selia yang lebih jelas untuk penjualannya.

“Mereka sudah membuat pelaburan yang besar tiba-tiba segala stok dirampas, ini menyusahkan mereka. Untuk kepentingan umum kita faham ini isu kesihatan tetapi kita minta ada kawal selia.

Saya harap KKM akan membuat peraturan secepat mungkin ini supaya semua orang faham dan jelas dari segi peraturan contohnya sebanyak mana nikotin boleh diletakkan, jadi pengusaha vape jelas apa yang boleh dan tidak boleh dibuat. Selagi mereka patuh undang-undang maka mereka tidak boleh diserbu,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview