Kolam Pengairan Padi: EXCO Pertanian Selangor Tipu Petani

SHAH ALAM, 21 Okt — Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar menyelar Exco kerajaan Selangor Yaakob Sapari kerana menipu petani apabila mendakwa kolam takungan pengairan padi di Sabak Bernam tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Noh berkata sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob sepatutnya tahu Menteri Besar Selangor telah meluluskan permohonan mewartakan tanah itu untuk tujuan berkenaan.

“Kalau prosedur kerajaan dia tidak tahu, kelulusan pun dia tidak tahu bagaimana dia nak jaga exco pertanian,” kata Noh kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, di sini hari ini.

“Inilah kerja pemimpin PKR (Parti Keadilan Rakyat) mereka nak cari kesalahan orang dan tipu rakyat. Yaakob kena minta maaf pada petani kerana tipu petani dengan mengatakan kolam itu belum ada kelulusan,” katanya.

Noh mengulas dakwaan Yaakob yang dilapor media sebagai berkata kerajaan negeri tidak meluluskan permit membawa batuan dan tanah merah untuk projek tersebut, atas alasan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) tidak mendapat kebenaran menggunakan hutan simpan Sungai Karang, Parit 5, Sungai Haji Dorani bagi membina kolam takungan itu.

Selain itu, Yaakob  juga dilapor berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan IADA Barat Laut tidak meminta kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri.

Bagaimanapun pada 17 Okt lepas, Pengarah IADA Barat Laut Muhammad Nasir Kushari menjelaskan pada 29 Jan 2011, pihaknya menerima surat daripada Pejabat Tanah dan Galian Selangor memaklumkan Menteri Besar Selangor secara rasmi meluluskan permohonan mewartakan tanah kerajaan bagi projek berkenaan.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview