Kompleks Mahkamah Jalan Duta Dikawal Ketat

KUALA LUMPUR, 8 Ogos  — Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini dikawal ketat anggota keselamatan ekoran sekali lagi menjadi tumpuan puluhan pengamal media tempatan dan antarabangsa bagi mengikuti perkembangan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tinjauan Bernama mendapati pemberita dan jurugambar serta jurukamera dari pelbagai agensi media sudah mula berkumpul di luar kompleks mahkamah seawal pukul 6.00 pagi.

Selain dikawal ketat pihak keselamatan, pengamal media dikehendaki beratur di luar pintu masuk kompleks berkenaan bagi mendapatkan pas masuk di kaunter yang dibuka bermula pukul 7.30 pagi.

Bagaimanapun, hanya 50 pengamal media dibenarkan membuat liputan kes berkenaan di tingkat atas perkarangan kamar Mahkamah Sesyen 9, sementara 21 pengamal media lagi diberi pas untuk mengikuti prosiding di bilik khas menerusi pautan video.

Susulan itu, berlaku sedikit kekecohan kecil di kaunter berkenaan ekoran rasa tidak puas pengamal media yang tidak berkesempatan mendapatkan pas masuk kerana tidak dimaklumkan tentang liputan yang dihadkan.

Bagaimanapun keadaan kembali tenang dan lancar selepas pengamal media membuat rundingan dengan pihak keselamatan.

Pemerhatian Bernama juga mendapati kira-kira 20 penyokong Najib yang diketuai oleh bekas calon  Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis Datuk Lokman Noor Adam pula berada di luar pagar kompleks mahkamah kerana tidak dibenarkan masuk oleh pihak keselamatan. 

Najib hari ini menghadapi tiga lagi pertuduhan membabitkan dana SRC mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001  (AMLATFPUAA).

Pada 4 Julai lepas, Najib, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap  pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta​​​​​​. -Bernama

 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview