Koperasi Majlis Belia Felda Sasar Jualan RM24 Juta Bagi D’Belda

KUALA LUMPUR, 18 Nov — Koperasi Majlis Belia Felda Malaysia Bhd menyasarkan jualan barangan cucian berasaskan teknologi hijau, D’Belda, yang bersifat biodegradasi, mencapai RM24 juta pada 2017.

12244384_10208289995272142_1024074169619765223_oSasaran itu diletakkan berdasarkan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara koperasi itu dan syarikat Microclear Sdn Bhd yang akan membekal, menghantar serta mengedar D’Belda secara pengilang peralatan asal (OEM) untuk semua agensi seliaan Felda di seluruh negara.

Pengerusi Koperasi Majlis Belia Felda, Anuar Abd Manap berkata Microclear akan membekalkan 100,000 liter D’Belda sebulan atau 1.2 juta liter setahun bagi kegunaan industri dan pelbagai guna.

“MoU ini dilihat sebagai penanda aras kepada semua generasi Felda untuk memberi sokongan penuh kepada agenda pembangunan usahawan dalam penghasilan produk mesra alam,” katanya kepada pemberita selepas memeterai MoU itu di sini Rabu.

Beliau berkata koperasi merancang untuk mengeksport produk cucian itu ke negara Asia Barat dalam masa dua tahun akan datang.

“Koperasi Majlis Belia Felda mempunyai sasaran tahunan iaitu untuk memperkenalkan tiga produk baharu setiap tahun dan pada 2015 kami telah mengeluarkan dua produk iaitu produk makanan (beras), produk industri (bahan cucian bersifat biodegradasi).

“Kami berharap koperasi ini dapat mengeluarkan produk elektronik tidak lama lagi,” katanya.

D’Belda merupakan produk inovasi berasaskan mikroorganisma dan tumbuhan yang dihasilkan bagi kegunaan industri seperti minyak kelapa sawit, minyak dan gas, automotif, perhotelan, restoran dan juga sebagai produk keperluan rumah.

Pembekalnya, Microclear Sdn Bhd, merupakan syarikat bioteknologi yang menghasilkan produk berasaskan teknologi bio berkualiti tinggi melalui usahasama Universiti Teknologi Malaysia dalam penyelidikan dan pembangunan produk perindustrian berteknologi tinggi.

Berita Berkaitan