Ku Li Bertanding Bukti Amalan Demokrasi Dalam UMNO Tetap Terjamin – Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Pengumuman Tengku Razaleigh Hamzah hari ini untuk bertanding jawatan Presiden UMNO merupakan suatu bukti komitmen bahawa semua jawatan dalam UMNO terbuka untuk ditandingi.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden yang menjalankan Tugas Presiden UMNO berkata, ini memperlihatkan UMNO lebih demokratik.

“UMNO tidak harus terbelah dua seperti terjadi pada tahun 1987 biarpun keterbukaan diterjemahkan semula pelaksaannya.

UMNO harus terus diperkukuhkan biarpun kekecundangan telah membaluti prestasi dalam PRU 14 dengan menerapkan semangat bekerja sepasukan.

Keutamaan untuk menjaga jemaah Umno lebih penting dari sesuatu jawatan yang ditandingi. Kerana sesuatu jawatan kelak merupakan suatu amanah dan bukan habuan politik. Umno kini terkeluar dari gelanggang kekuasaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tempoh berkempen tidak harus dijadikan pentas untuk membunuh perwatakan calon-calon yang menawarkan diri. Ianya hendaklah dilakukan secara persahabatan dengan semangat ukhuwah.

“Saya sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kelak menerima siapa sahaja yang menang untuk membentuk kepimpinan UMNO yang kuat.

Kita hendaklah menjadikan pertandingan ini dengan niat untuk menghadapi seteru politik di luar sana dan bukan mencipta permusuhan sesama sendiri.

Jangan jadikan ‘menang jadi arang dan kalah menjadi abu’ sebagai tunjang pertandingan ini,” ujarnya lagi.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview