Laluan Felda Redong-Selancar Ditutup Akibat Tanah Runtuh – Ayub

JOHOR BAHRU, 4 Mac  — Laluan Felda Redong ke Felda Selancar di daerah Segamat, ditutup kepada semua jenis kenderaan sejak pukul 10 malam tadi berikutan tanah runtuh akibat hujan lebat.

imageExco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata kerja membaik pulih laluan itu belum dilakukan namun beliau telah meminta kontraktor di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya negeri untuk menyegerakannya.

“Ia perlu disegerakan bagi membantu peneroka ladang kelapa sawit membawa hasil tuaian tanaman mereka ke kilang di Selancar,” katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Ayub berkata hujan lebat yang berterusan turut menyebabkan dua lagi pusat pemindahan terpaksa dibuka di daerah itu berbanding hanya empat pada petang semalam.

Dua pusat pemindahan baharu itu ialah Kompleks Penghulu Mukim Pogoh dan Sekolah Kebangsaan Kampung Spang Loi.

Setakat pukul 10 pagi ini, seramai 141 mangsa daripada 31 keluarga ditempatkan di keenam-enam pusat berkenaan.

Bacaan paras air semasa di empat sungai utama di kawasan itu iaitu Sungai Segamat Bandar, Sungai Muar Kampung Awat, Sungai Muar Buluh Kasap dan Sungai Juasseh Kemelah menunjukkan ia berada antara 7.42 meter dan 20.49 meter, ada yang melebihi paras amaran.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview