Laluan ke Lombok capai 100 peratus kapasiti penumpang

SYARIKAT penerbangan tambang murah, Air Asia Berhad berjaya mencapai 100 peratus kapasiti penumpang bagi laluan terbarunya ke Lombok sekali gus menjadikan ia destinasi ke-15 bagi Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, Lombok adalah laluan terbaru dari Kuala Lumpur dengan melengkapkan 17 kesemuanya daripada hab Malaysia di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

Menurutnya, lebih 9,000 tempat duduk dijual sejak tempahan dan jualan tiket bagi laluan terbaru itu dibuka Ogos lalu.

“Pelbagai usaha dilaksanakan bagi memperkenalkan laluan baru dan sambutan diterima daripada pelanggan yang ingin meneroka Lombok memberangsangkan.

“Indonesia adalah pasaran terpenting dan sehingga kini Air Asia telah merekodkan lebih 9.3 juta pelanggan menggunakan perkhidmatan Air Asia dari Malaysia,” katanya.

Aireen berkata, pertumbuhan ekonomi yang semakin baik mendorong kepada minat dan kemampuan lebih ramai pelanggan terbang bersama Air Asia sekali gus menggariskan kepercayaan serta potensi perkembangan dalam sektor penerbangan Indonesia.

Katanya, Air Asia menawarkan promosi serendah RM149 bagi tempoh tempahan dari 21 Oktober manakala penerbangan pada 3 Januari hingga 31 Mac 2013.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview