Lapan Remaja Terperangkap Di Bawa Keluar Dari Gua

BANGKOK, 9 Julai –  Penyelam dari pasukan  penyelamat berjaya membawa keluar dengan selamat empat lagi remaja yang terperangkap dalam kompleks gua Tham Luang di Mae Sai, Chiang Rai, hari ini, menjadikan jumlah mereka yang diselamatkan setakat ini lapan orang.

Menerusi catatan dalam Facebook malam ini, anggota unit SEAL Tentera Laut  Diraja Thailand mengesahkan kejayaan menyelamat empat lagi remaja lelaki dari Akademi Bola sepak “Mu Pa” dari gua yang ditenggelami air dalam operasi yang kompleks dan berisiko bermula sebelum tengah hari tadi.

Unit elit tentera laut itu juga dikenali sebagai Underwater Demolition Team (UDT) dari angkatan tentera negara itu. Seorang daripada bekas anggotanya terkorban semasa operasi menyelamat beberapa hari lalu.

Anggota penyelam SEALS Thailand itu menjadi tulang belakang dalam operasi menyelamat yang dijalankan bersama anggota penyelam dari beberapa negara asing.

Unit itu tidak memaklumkan bila remaja lelaki itu dibawa keluar dari gua tetapi menurut media tempatan yang memetik sumber-sumbner, remaja pertama dibawa keluar pada jam 4.45 petang (5.45 petang di Malaysia) dan diterbangkan ke Hospital Prachanukroh di Chiang Rai untuk mendapatkan rawatan segera.

Dua lagi remaja kemudian dikeluarkan dari gua pada jam 6.20 petang dan 6.30 petang (7.20 malam dan 7.30 malam sementara remaja keempat diterbangkan ke Chiang Rai kira-kira jam 8 malam, menurut media tempatan. 

Remaja lelaki itu diberi rawatan perubatan  oleh anggota tentera yang ditempatkan berhampiran gua sebelum dibawa ke hospital wilayah

Tidak ada kenyataan rasmi dikeluarkan buat masa ini mengenai operasi menyelamat empat remaja dari pasukan bola sepak itu walaupun bekas Gabenor Chiang Mai, Narongsak Ossothanakorn dijangka bertemu media lewat malam ini untuk taklimat harian.

Empat remaja lelaki dibawa keluar dengan selamat dari gua pada malam Ahad. 

Dalam pada itu, lima lagi anggota pasukan bola sepak  remaja itu masih terperangkap dalam gua dan dijangka diselamatkan pagi esok.

Dua belas remaja lelaki berusia 11 dan 25 tahun itu bersama jurulatih mereka dari Akademi Bola Sepak Mu Pa telah terperangkap dalam gua yang digenangi air selama 17 hari.

Operasi untuk menyelamat mereka yang masih terperangkap dalam gua tersebut, disambung semula kira-kira 11 pagi (12 tengah hari di Malaysia) Isnin selepas ditangguhkan malam tadi selepas empat remaja pertama berjaya dibawa keluar malam tadi.

Operasi menyelamat ditangguhkan  malam tadi kerana pasukan penyelamat perlu mengisi semula tangki oksigen kosong yang digunakan oleh anggota penyelam semasa misi sebelumnya. 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview