Lawatan Ke Sekolah Cina Mampu Rombak Benteng Kesamaran, Salah Persepsi – Annuar

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa hari ini secara peribadi membuat lawatan ke Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa bertujuan untuk mengadakan perbincangan bersama para pendidik di sekolah tersebut berhubung isu-isu pendidikan khususnya yang melibatkan sekolah jenis kebangsaan.

14947691_1058222607610013_3503035232423883838_nKata beliau, lawatan tersebut juga adalah bertujuan merombak benteng-benteng kesamaran, ketidakfahaman dan salah persepsi tentang perkara-perkara yang menyentuh isu kepentingan nasional.

“Kita menganggap soal kebajikan masyarakat Cina dalam negara kita yang merupakan rakan kongsi kanan kepada UMNO itu sendiri, sejak seawal kita mewujudkan negara ini adalah sesuatu yang penting.

“Maka dalam hal ini kita mesti mengambil pendekatan untuk meningkatkan keterlibatan antara pemimpin supaya kita dapat memahami secara lebih mendalam terhadap satu-satu isu yang menjadi tanggungjawab seseorang pemimpin untuk mengurusnya”, ujar beliau.

Lawatan tersebut jelasnya amat berguna untuk mendapatkan maklumat dan beliau juga berkesempatan untuk mendapatkan perspekstif daripada pendidik-pendidik tentang UEC misalnya yang menjadi satu polemik dalam negara.

“Dan kami dapat bertukar-tukar pandangan secara sihat termasuk membincangkan aspek-aspek yang berkaitan dasar-dasar pendidikan dan korikulum kebangsaan, dan apa pentingnya pendidikan itu dalam membina sebuah negara yang berbilang bangsa seperti di Malaysia dan sebagainya,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau mendapati lawatan seperti itu amat berfaedah dan patut dijadikan amalan supaya kesangsian dan kekeliruan itu dapat diurus dan bukannya dibiarkan berlaku mengikut sentimen.

“Ini kerana ada pihak di luar sana yang menunggu untuk mengambil kesempatan bila ada isu-isu yang bersifat sensitif. Mereka biasanya melihat daripada perspektif keuntungan politik jangka pendek.

“Saya secara jelas menyatakan tadi bahawa saya tidak fikir apa yang telah dilakukan oleh masyarakat Cina bersama dengan orang Melayu di negara kita sesuatu perkara yang harus kita lupakan begitu saja”, terangnya.

Proses mewujudkan negara ini yang dilakukan secara bersama sejak dari awal lagi tambah beliau menerima konsep berkongsi kuasa.

“Kita sama-sama berkorban bagi mewujudkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

“Dan di situ kita mengangap masyarakat Cina sebagai rakan kongsi dan telah memainkan peranan yang besar sampailah ke hari ini,” jelasnya.

Tambah beliau, perpaduan dan toleransi antara kaum yang wujud di negara ini perlulah dihargai oleh rakyat yang berbilang bangsa di negara ini.

“Kita harus menjaga amalan toleransi ini dengan kaedah di mana kita mesti terus mewariskan sikap bertolak ansur dan perpaduan antara kaum serta melihat masalah setiap kaum itu sebagai masalah bersama,” ujarnya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview