Lebih 150 Pembaharuan Najib Untuk Felda Jauh Lebih Baik Dari Umpan Kosong Pembangkang – MBFM

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Manifesto pembangkang yang melibatkan warga Felda merupakan satu janji yang hanya bersifat populis untuk meraih undi dan ianya tidak realistik untuk dilaksanakan, demikian tegas Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hassan.

Sebenarnya kata Fadzli, apa yang cuba dijanjikan oleh pembangkang melalui manifesto terbaru mereka itu  sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan BN di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib dengan cara dan pendekatan yang lebih bijak dan realistik.

“Apa yang mereka janjikan kepada warga Felda ini sebenarnya sudah dilaksanakan oleh kerajaan, terutama  di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib hari ini. Sejak penubuhan Felda 61 tahun yang lepas, kerajaan telah membantu warga Felda yang kebanyakkan orang-orang miskin melalui transformasi tanah yang dibuat oleh Allahyarham Tun Razak, dan kini legasinya diteruskan pula oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dan ketika Datuk Seri Najib ditugaskan sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga Felda, lebih daripada 150 pembaharuan dari sudut tindakan dan penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh Datuk Seri Najib ketika itu terhadap Felda. Termasuklah yang terbaru, ada enam insentif yang telah diberi keutamaan kepada warga Felda,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program diskusiUMNO-Online “Anda Tanya Kita Jawab” yang membawa tajuk ‘Kenapa Manifesto Pembangkang Ditalkinkan Awal’yang disiarkan secara langsung daripada PWTC melalui medium facebook dan Youtube UMNO Online semalam.

Kata Fadzli, enam insentif yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk warga Felda baru-baru ini adalah perancangan yang lebih bijak serta lebih realistik untuk dilaksanakan, termasuklah dalam usaha untuk mengurangkan beban hutang warga peneroka.

“Baru-baru ini Perdana Menteri ada mengumumkan enam inisiatif terbaru untuk warga Felda. Antara enam insentif tersebut ialah ada tiga empat perkara yang saya lihat sememangnya bertujuan untuk mengurangkan beban hutang peneroka.

“Sebagai contoh, pemberian RM5 ribu kepada peneroka. Lepas itu, ada penghapusan sebanyak RM5 ribu hutang peneroka. Jadi semua warga peneroka dapat penghapusan hutang sebanyak RM5 ribu seorang. Siapa yang tidak berhutang, diberi pula sebanyak RM5 ribu.

“Satu lagi perkara yang saya rasakan merupakan  satu tindakan yang bijak ialah berkaitan dengan bantuan penanaman semula. Di mana kalau kita lihat, apabila mahu membuat penanaman semula, peneroka perlu menyediakan kos sebanyak RM 40 ribu.

“Sebelum ini peneroka hanya ada simpanan sebanyak RM 17 ribu sahaja. Jadi untuk membuat penanaman semula, peneroka perlu membuat pinjaman sebanyak RM 23 ribu untuk penanaman semula. Jadi dengan adanya pengumuman bantuan tersebut daripada Datuk Seri Najib yang memberikan dana NPOB sebanyak RM7500 per hektar.

“Jadi setiap peneroka yang ingin membuat penanaman semula akan mendapat lebih kurang RM30 ribu setiap seorang daripada dana NPOB, iaitu 60 peratus daripada dana keseluruhan yang mereka perlukan untuk penanaman semula. Dan ianya bukan pinjaman tetapi itu adalah dana. Ini merupakan langkah yang lebih rasional dalam usaha mengurangkan hutang warga Felda,” tegasnya.

Justeru, janji pembangkang untuk menghapuskan hutang warga Felda sebanyak RM 5.2 bilion itu sangat-sangat tidak realistik dan hanya bersifat populis semata-mata.

“Janji yang mereka buat itu nampak sangat tidak bijak dan hanya bersifat populis sahaja. Perkara seperti ini hanya timbul ketika hampir pilihanraya. Soal hutang RM 5.32 bilion ini ada hutang yang berkaitan dengan penanaman semula, ada hutang yang berkaitan dengan pinjaman perumahan, pendidikan dan sebagainya. Jadi, RM 5.2 bilion ini bukannya satu nilai yang dikongsikan secara rata bersama oleh seluruh warga Felda di negara ini,“ujarnya.

Tambahnya lagi, begitu juga dalam soal pendidikan dan kebajikan warga Felda dalam hal-hal kematian, sakit dan seumpamanya.

“Apabila anak-anak peneroka Felda dapat tawaran belajar di univerisiti, hantar saja surat tawaran tersebut kepada pejabat rancangan Felda, dapat sumbangan RM 500 untuk masuk ke ke universiti. Itu untuk diploma. Kalau ijazah pula, dapat sumbangan sebanyak RM 1000.

“Peneroka Felda kalau meninggal pun, ada dana daripada Felda tanpa mencarum apa-apa. Jika ada warga yang meninggal dunia, Felda akan terus berikan sebanyak RM 10 ribu sebagai dana bantuan. Ini tidak termasuk dana yang diberikan oleh Felda kepada warga peneroka yang sakit yang juga berjumlah RM 10 ribu. Bil-bil hospital akan ditanggung oleh Felda”, katanya.

Jelas beliau lagi sehingga ke hari ini, bantuan kerajaan terhadap warga Felda tidak pernah putus-putus.

“Dengan segala transformasi yang dilakukan sehingga Felda sudah ada bangunan tinggi sebagai mercu tanda, hari ini warga Felda yang dahulunya terdiri daripada orang-orang miskin sudah berubah nasibnya. Orang Felda kini bukan dalam kategori orang-orang miskin seperti di awal-awal penubuhan Felda dulu.

“Jadi saya rasakan, apa yang dilakukan oleh kerajaan BN sejak dari awal Felda diilhamkan oleh Allahyarham Tun Razak dan diteruskan oleh kerajaan yang diterajui oleh Datuk Seri Najib hari ini, apa yang telah dilakukan oleh kerajaan  adalah lebih bijak, lebih realistik dan jauh lebih baik daripada apa yang dijanjikan oleh pakatan harapan melalui manifesto mereka,” akhirinya.

UMNOOnline

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview