Lebih Baik Tidak Ada Kapal Perang Di Perairan Malaysia – Mahathir

PUTRAJAYA, 6 Jun – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah lebih baik jika tidak ada kapal perang ditempatkan di Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra di sini hari ini, Perdana Menteri berkata kehadiran kapal perang di perairan Malaysia membawa situasi yang ‘tidak  sihat’.

Menjawab soalan mengenai keputusan beliau melarang sebarang kapal perang asing ditempatkan di Laut China Selatan dan Selat Melaka, Dr Mahahir melihat perkara itu sebagai ‘tidak sihat’.

“Ini kerana apabila ada negara tertentu yang melihat negara tertentu melabuhkan kapal perang mereka di perairan negara, mereka kemudian membuat permintaan yang sama…jadi ini sesuatu yang tidak sihat,” katanya.

Sebelum ini, berkaitan dengan inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China, Dr Mahathir dipetik sebagai berkata: “Kami tidak mempunyai masalah dengan itu (BRI) kecuali sudah tentu kita tidak mahu melihat terlalu banyak kapal perang di kawasan ini kerana kapal perang menarik kapal perang lain.”

Mengenai perkembangan insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di  timur Ukraine pada 2014, Perdana Menteri berkata tindakan susulan akan diambil hasil dapatan terkini siasatan jenayah terhadap pesawat malang itu.

“Jabatan Peguam Negara bersama Kementerian Luar Negeri akan mengkaji dengan teliti tindakan susulan yang boleh diambil ke atas pihak bertanggungjawab berdasarkan hasil siasatan jenayah MH17,” katanya.

Pesawat Boeing B777 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai, 2014. Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) diketuai Belanda sebelum ini mengumumkan pihaknya yakin BUK TELAR digunakan bagi menembak jatuh MH17, dan daripada Briged ke-53 Peluru Berpandu Anti-Pesawat (Briged ke-53), yang berpangkalan di Kursk, dalam Persekutuan Rusia.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview