Lebuhraya PLUS Tapah-Gopeng Masih Ditutup Setakat 10.45 Malam Ini

KUALA LUMPUR, 4 Nov  — Laluan di Lebuhraya Utara Selatan antara Tapah-Gopeng di kedua-dua hala yang ditutup sejak tengah hari tadi masih belum dibuka untuk laluan bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih kebocoran pada tangki sebuah lori yang membawa muatan gas.

Sehingga berita ini ditulis pada 10.45 malam, kerja-kerja pembaikan itu masih giat dijalankan di KM310.3 arah utara.

Menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), penutupan jalan berkenaan sejak 12 tengah hari tadi telah menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih dari lima kilometer di kedua-dua arah.

“Penutupan itu dilakukan untuk memastikan keadaan laluan adalah selamat digunakan kerana gas yang dibawa oleh lori ini jenis mudah terbakar. Pengguna digalakkan menggunakan laluan alternatif yang disarankan pihak LLM,” katanya ketika dihubungi Bernama.

LLM menasihatkan pengguna dari arah utara supaya menggunakan laluan susur keluar di Simpang Pulai sebelum melalui ke laluan susur masuk Bidor.

Pengguna dari arah selatan pula boleh melalui susur keluar ke Bidor sebelum melalui ke laluan susur masuk ke Simpang Pulai.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh hubungi Hotline InfoTrafik LLM di talian 1800-88-7752 atau layari laman Twitter LLM di @LLMinfotrafik untuk sebarang maklumat.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview