Lokasi penganjuran jetrace antarabangsa pindah ke Tasik Kenyir

Kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk memindahkan lokasi penganjuran acara Terengganu World International Jetrace Challenge yang sebelum ini diadakan di Pulau Duyong dan Batu Buruk ke Tasik Kenyir, bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata usaha menukar lokasi baru penganjuran sukan yang mendapat penyertaan bangsa asing itu bagi memastikan lebih ramai pelancong seluruh dunia akan mengunjungi tasik terbesar di Asia Tenggara.

“Kita mendapat cadangan supaya acara ini bukan lagi diadakan di Pantai Batu Buruk , sebaliknya di Tasik Kenyir pada tahun depan.

“Ada permintaan daripada Ketengah (Lembaga kemajuan Terengganu Tengah) berikutan mereka memerlukan program antarabangsa dan bertaraf dunia bagi membantu menarik lebih ramai pelancong ke pusat pelancongan itu,” katanya.

Menurut Dato’ Abdul Rahin, selain pertandingan sukan ekstrim menggunakan kraft air itu, Tasik Kenyir turut menjadi medan penganjuran acara pelancongan antarabangsa lain termasuk Kenyir Lake International Triathlon pada Mac dan Kenyir Cup (November).

Dato’ Abdul Rahin berkata, penganjuran pelbagai acara sukan dunia dan juga pertandingan memancing yang terbuka kepada bangsa asing diharap mampu menarik lebih ramai pelancong ke Tasik Kenyir, sekali gus mencapai sasaran empat juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

Berita Berkaitan