Lokman Tekad Guna Tempoh Kempen Perjuangkan Isu Rakyat

SHAH ALAM, 21 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam bertekad untuk menggunakan sepenuhnya tempoh kempen bagi menarik seramai mungkin pengundi di kawasan berkenaan untuk memilih BN.

Menurut beliau dengan kerjasama daripada jentera parti pelbagai peringkat, banyak perkara yang akan dilontarkan termasuk janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terkandung di dalam manifesto mereka yang hanya sekadar populis.

“Pertandingan tiga penjuru di sini menunjukkan amalan demokrasi kita subur. Saya rasa dalam tempoh 14 hari ini banyak isu-isu yang akan dibangkitkan dan di kawasan ini saya rasa lebih kepada soal peringkat nasional yang dikumandangkan.

“Pada masa yang sama kita turut mengutamakan isu-isu tempatan mungkin soal menangani masalah banjir, permasalahan denggi dan pelabagai isu setempat yang akan kita lontarkan sepanjang tempoh kempen yang dibenarkan sehingga ke hari pembuangan undi nanti, insya-Allah,” katanya.

Setelah berakhirnya proses penamaan calon di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, Pegawai Pengurus PRK Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad mengumumkan tiga calon sah bertanding pada PRK kawasan terbabit.

Ketiga-ketiga calon terbabit ialah BN, Datuk Lokman Noor Adam, PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas, K. Murthy.

Mula melibatkan diri dalam bidang politik seawal usia 15 tahun, Lokman boleh  dikatakan sudah lali dengan ‘sepak terajang” politik dengan pernah dipecat daripada dua parti malah pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) (kini sudah dimansuhkan).

Bermula  sebagai anggota biasa, keikhlasan serta kegigihan anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu dalam memperjuang agenda Melayu dan parti telah menaruh kepercayaan akar umbi sehingga dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Kluang, Johor sekitar tahun 1991 pada usia 18 tahun.

Pelbagai  jawatan terus disandangnya pada awal pembabitan dalam politik antaranya Setiausaha Majlis Kebudayaan dan Kesenian Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Anggota Jawatankuasa (AJK) MajlisPembangunan Luar Bandar dan AJK Majlis Sains dan Teknologi Pemuda UMNO Malaysia sekitar tahun 1996 hingga 1998.

Langit tidak selalu cerah apabila lulusan ijazah Sarjana Pengurusan itu dipecat daripada parti kesayangannya pada 1998 ekoran tindakannya menegur presiden parti ketika itu  Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan isu tertentu.

Detik hitam itu tidak sesekali mematahkan semangatnya dalam politik sebaliknya beliau terus menyertai PKR sebagai anjakan untuk memperjuang keadilan dan hak asasi sejagat.

Beliau juga pernah dilokap sebanyak lapan kali dan ditahan di bawah ISA pada 1998 kerana mengetuai demonstrasi mempertahan hak bersuara dan berhimpun bagi memperjuangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri atas dakwaan rasuah dan liwat.

Ketika bersama PKR, Lokman Noor dilantik sebagai Ketua Pemuda PKR Johor yang pertama pada sekitar tahun 1999 dan dipilih  sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dalam pemilihan pertama parti tersebut.

Bagaimanapun, detik hitam sekali lagi menimpa beliau apabila dipecat daripada PKR pada 2004 kerana menegur tindakan Ketua Pemuda PKR ketika itu, Ezam Md Nor berkaitan isu tertentu.

Pengalaman bersama dua parti telah mengajarnya erti mendalami maksud perjuangan sebenar apabila pada tahun 2006, Lokman Noor menyertai semula UMNO di Bahagian Shah Alam.

Walaupun pernah dipecat daripada parti, pengalaman dan kewibawaannya dalam politik membolehkan beliau dilantik sebagai Exco Pemuda UMNO Shah Alam dan Exco Pemuda UMNO Malaysia bagi penggal 2008-2013.

Sejak itu, Lokman Noor terus tetap dalam perjuangannya bersama UMNO dan dilantik memegang pelbagai jawatan antaranya pengerusi Unit Pidato Pemuda Barisan Nasional dan UMNO (2009-2013), Anggota Badan Pemikir Penerangan UMNO Malaysia (2016-2018), Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan (2016-2018), Presiden Pemantauan Malaysia Baharu 2018 dan Anggota Majlis Tertinggi UMNO (2018-2021).

​​​​​​​Dilahirkan pada 1 Jan 1973, Lokman Noor berkelulusan  Ijazah Sarjana Pengurusan daripada  Universiti Tun Abdul Razak dan Diploma Siyassah Syariah dan Kepimpinan Islam daripada Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam, Kelantan (kini Kolej Islam Sains dan Teknologi).

​​​​​​​Beliau mendirikan rumahtangga dengan Nur Fazilah Ahmad Muhyidin dan  dikurniakan 10 anak berusia antara 19 hingga dua tahun.

Lokman Noor, 45, dipilih sebagai calon BN untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi  Shafiei, pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.  -UMNOOnline

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview