Mahfuz Minta Orang Ramai Bantu Mangsa Gempa Lombok

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar hari ini meminta orang ramai untuk turut membantu mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia. 

Mahfuz, yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena berkata orang ramai boleh memberi sumbangan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi yang terlibat secara langsung memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa gempa bumi itu. 

“Difahamkan, bantuan yang diperlukan ialah bekalan air bersih, makanan termasuk pek makanan untuk bayi dan pesakit, ubat-ubatan, pakaian, selimut, dan pek kebersihan diri,” katanya kepada pemberita selepas  melancarkan bantuan khas Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim untuk Lombok di lobi Parlimen, hari ini. 

Pada majlis itu, Mahfuz turut menyerahkan sumbangan peribadi berupa cek berjumlah RM10,000 kepada wakil pertubuhan itu.  

Dalam pada itu, wakil pertubuhan itu Siti Fatyhah Sulaiman berkata setakat ini, pihaknya dapat mengumpul RM20,000 hasil sumbangan orang ramai.

“Kami akan ke Lombok pada Sabtu (11 Ogos) ini untuk menyalurkan sendiri bantuan menerusi kerjasama NGO di sana yang mana ini adalah fasa pertama bantuan.  Kami akan terus mengumpul dana bagi membantu masyarakat di sana,” katanya.  

Siti Fatyhah berkata orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh membuat pembayaran menerusi akaun Maybank Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim di 5641-0042-1083 atau melayari laman sesawang http://www.smuslim.com dan Facebook https://www.facebook.com/SerantauMuslim. 

Ahad lepas,  gempa bumi berukuran 7 pada skala Ritcher kira-kira 6.46 petang waktu tempatan menggegarkan Pulau Lombok, Indonesia dan dilaporkan meragut 105 nyawa.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview