Malaysia Belum Dapat Isyarat Hantar Bantuan Ke Lombok – TPM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos  — Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan masih belum mendapat isyarat daripada kerajaan Indonesia bagi menghantar bantuan ke Lombok, Indonesia yang dilanda gempa bumi.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan telah menyatakan kesediaan dan menawarkan bantuan kepada kerajaan Indonesia.

Malah, katanya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah menawarkan bantuan dan menyampaikan ucapan takziahnya kepada kerajaan Indonesia.

“Belum lagi, Memang kita tawarkan bantuan kita yang mana kita boleh tolong, tetapi kita perlukan mereka dulu untuk memohon, kadang-kadang kalau kita pergi tanpa koordinasi, ia hanya merugikan kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Menara Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyampaian bayaran Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 kepada waris Allahyarhamah Siti Nur Ies’Mawida Ismail, rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat ditimpa runtuhan semasa gempa bumi di Lombok, Indonesia, 29 Julai.

Penyampaian berkenaan dalam bentuk cek diterima waris Siti Nur Ies’Mawida, iaitu ibunya Mazinah Mahmood, 57, dan suaminya Mohd Hafiz Mohd Kassim, 30, yang turut menerima Pencen Penakat arwah isterinya sebanyak RM863 sebulan, di bawah faedah Skim Perlindungan Keselamatan Sosial.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

Sehingga hari ini, menurut Dr Wan Azizah angka yang terkorban akibat gemba bumi di Lombok  berukuran 7 pada skala Richter Ahad lepas ialah 102 orang, selepas kepulauan itu dilanda gempa bumi kali pertama bermagnitud 6.4 pada skala Richter, kira-kira seminggu sebelumnya pada 29 Julai yang meragut  nyawa Siti Nur Ies’Mawida.

“Ini satu tempat yang nampaknya menerima ujian begitu teruk,” katanya yang turut sekali lagi mengucapkan takziah kepada mereka yang terlibat.

Mengambil contoh faedah yang diterima waris Siti Nur Ies’Mawida, beliau meminta supaya majikan yang masih belum berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk berbuat demikian dan mencarum supaya hak pekerja mereka mendapatkan bantuan, terbela.

Dr Wan Azizah berkata sehingga kini beliau dimaklumkan daripada 435,000 majikan yang berdaftar di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri hanya 435,00 yang aktif dengan Perkeso.

“Ini supaya apa-apa kejadian yang berlaku kepada mana-mana pekerja (yang dicarum) akan dapat menerima bantuan untuk meringankan beban,” katanya.

Selain memperkenalkan perlindungan keselamatan sosial kepada pemandu teksi dan pemandu e-hailing, kerajaan turut bercadang memperluaskan skim berkenaan kepada rakyat dalam sektor informal seperti petani, nelayan, penjaja dan golongan seniman.

Sementara itu, Kula Segaran melahirkan rasa kesalnya kerana pendaftaran skim perlindungan keselamatan sosial daripada pemandu teksi dan e-hailing sangat rendah, di mana daripada kira-kira 90,000 hanya sekitar 5,000 yang berdaftar.

“I am very sad that this happened…they are on risks more than everybody else because they are always on the road and tired,” he said.

(“Saya amat sedih ini berlaku… mereka berhadapan risiko lebih tinggi berbanding yang lain kerana  mereka sering berada di atas jalan raya dan keletihan,” katanya.) 

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview