Malaysia Tetap Bertanding Acara Regu Pada Sukan Asia

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Skuad sepak takraw lelaki negara tetap akan menyertai acara regu pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan depan, walaupun terdapat kesilapan teknikal sewaktu majlis undian beberapa acara berpasukan di Jakarta, baru-baru ini.

Ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, berkata, beliau telah dimaklumkan oleh wakil Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC), baru-baru ini yang bersetuju untuk membuat undian semula atau Malaysia akan diletakkan dalam Kumpulan A atau B dalam acara regu.

“Kita masih menunggu keputusan dari INASGOC tapi besar kemungkinan akan berlaku undian semula atau diletakkan dalam Kumpulan A atau B seperti mana yang berlaku pada pasukan Afghanistan yang diletakkan sahaja dalam mana-mana kumpulan acara ragbi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa persatuan sukan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia, di sini, hari ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, sebelum ini dilaporkan berang setelah skuad negara diundi dalam acara regu berpasukan dan doubles berpasukan pada Sukan Asia walaupun MOM menyenaraikan nama atlet negara dalam acara regu dan berpasukan.

Dalam pada itu, Ahmad Ismail optimis skuad negara mampu merampas kembali pingat emas dalam acara regu yang dimenangi oleh musuh tradisi, Thailand, sejak beberapa edisi lepas.

“Acara regu ini adalah acara yang Malaysia mula perkenalkan (dalam mana-mana kejohanan) sejak saya sertai Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa pada 2004 dan kita tahu mahu acara ini terus dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata PSM akan mendapatkan khidmat seorang pakar psikologi yang berperanan untuk membantu meningkatkan semangat juang dan keyakinan pemain, sambil menambah badan induk telah melantik tiga pemantau untuk membantu prestasi pemain bagi menghadapi Sukan Asia.

Ahmad Ismail memaklumkan 15 pemain telah dipilih namun hanya 12 pemain sahaja akan disenaraikan beraksi pada Sukan Asia, dengan sasaran memenangi pingat emas acara regu.

 

Senarai 15 pemain: 

Mohammad Syahir Rosdi, Muhammad Zulkifli Abd Razak, Said Ezwan Said De, Muhammad Hairul Azizi Haidzir, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Kamal Ishak, Mohd Hanafiah Dollah, Muhammad Norhaffizi Abd Razak

Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Hafizul Hayazi Adnan, Farhan Adam, Mohd Syazreenqamar Salehan, Zuleffendi Sumari, Aidil Aiman Azwawi, Mohamad Azlan Alias.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview