MARA Akan Lakukan Penyusunan Semula Anak Syarikat – Annuar

KOTA BAHARU, 12 Nov – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melaksanakan penyusunan semula anak syarikatnya termasuk membuat pelantikan pengerusi baharu bermula 15 Nov ini.

Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa berkata penyusunan itu merangkumi pengerusi lembaga pengarah dan disusuli anggota lembaga pengarah.

“Ia juga membabitkan beberapa struktur pengurusan di mana semua anak syarikat MARA akan bernaung di bawah satu syarikat induk yang dinamakan MARA Corporation Berhad,” katanya kepada pemberita di Majlis Penyerahan Kunci Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Parlimen Ketereh di sini, hari ini.

Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh, berkata kawalan dan seliaan lebih rapi mampu dilakukan melalui pengurusan baharu itu berbanding pentadbiran di bawah MARA sebelum ini.

Menurutnya, langkah itu diambil untuk memastikan anak syarikat MARA diuruskan dengan lebih baik, mampu menjana pendapatan lebih besar dan lebih berdikari.

“Dengan cara demikian syarikat terbabit tidak terlalu bergantung kepada dana kerajaan. Kita ada aset yang banyak, kesemua syarikat ini mempunyai jumlah modal berbayar hampir RM2 bilion dan ia satu jumlah yang besar,” katanya.

Beliau berkata antara syarikat yang terlibat termasuklah Pelaburan MARA Berhad (PMB), Yayasan Pelajaran MARA (YPM), MARA Liner, Giat MARA Sdn Bhd, Kolej Politek MARA (KPM) dan Pusat Pengembangan Reka Bentuk MARA (DDEC).

Sementara itu, Annuar berkata setakat ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 juta bagi pembinaan 50 rumah PPRT di Parlimen Ketereh selain membaiki lebih 1,000 rumah penduduk.

“Kita sedang membuat tapisan 200 lagi pemohon bagi meneruskan pembinaan 50 buah PPRT tahun depan,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview