Masa Berpolitik Sudah Berlalu – Shafie

SANDAKAN: Wakil rakyat perlu tumpu kepada aspek pembangunan negeri, termasuk menyelesaikan isu berkaitan tanah, bekalan elektrik dan air, terutama di kawasan yang belum menerima kemudahan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata masa berpolitik sudah berlalu selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kerajaan kini memberi tumpuan kepada aspek pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Wakil rakyat perlu beri keutamaan kepada isu terbabit supaya rakyat mendapat pembelaan sewajarnya oleh kerajaan negeri yang baru mengambil alih tampuk pemerintahan selepas memenangi pilihan raya lalu.

“Kita berpolitik sudah agak lama dan inilah masanya kita beri tumpuan kepada pembangunan negeri ini,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat di Dewan Serbaguna Masjid Daerah Sandakan di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib; Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Stephen Wong Tien Fatt; Menteri Belia dan Sukan negeri, Frankie Poon dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Ariffin Asgali.

Ia lawatan pertama kali ke Sandakan selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada 12 Mei lalu.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri akan memastikan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan dapat dirasai pada semua peringkat masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memberi keutamaan dalam mewujudkan peluang pekerjaan khususnya kepada anak negeri ini.

“Ketika ini keadaan ekonomi tidak begitu baik, justeru kita akan melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan keadaan ekonomi berada pada landasan yang betul.

“Dalam tempoh setahun dua ini, kerajaan negeri akan berusaha meletakkan kedudukan kewangan negeri berada pada landasan kukuh,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha itu penstrukturan semula beberapa agensi pada peringkat negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilaksanakan, selain mewujudkan kementerian baharu seperti Pelajaran dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Ini demi memastikan rakyat akan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview