Masyarakat Digesa Utamakan Kesihatan : Sapawi

Oleh: Dg Maimunah Sidek

SIPITANG : Exco Penerangan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad menggesa semua masyarakat khususnya di daerah Sipitang agar sentiasa mengutamakan kesihatan dan pemakanan yang sihat.

Jelas Sapawi, sikap negatif yang tidak mementingkan kesihatan harus diubah demi mengelakkan penyakit-penyakit tidak diingini yang kebanyakkannya berpunca daripada amalan hidup yang tidak sihat.

“Penyakit boleh dijauhi sekiranya kita mempunyai kesedaran dan kefahaman tentang gaya hidup yang sihat selain kita perlu mengubah sikap kita.

“Kita juga perlu menjadikan amalan gaya hidup sihat satu budaya di dalam diri dan keluarga kita serta diterapkan dalam kehidupan seharian agar hidup lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap merasmikan Majlis perasmian penutupan mini karnival pemakanan sihat di sini.

Hadir sama Adun Lumadan kamarlin Ombi, Pegawai Operasi Unit Pendidikan Pra Sekolah kanak-Kanak Tadika  Marisa Assin, Pegawai Kemas sipitang Hasbullah Abdul Hamid, Penyelia Kemas Parlimen SipitangAminah Ghafar dan penceramah jemputan Fazlini mohd Fadzwi Pensyarah Sekolah sains makanan dan Pemakanan UMS

Menurut Sapawi, kerajaan begitu serius dalam menangani penyakit-penyakit berbahaya selain meningkatkan komitmen untuk memberi perkhidmatan yang menyeluruh.

Justeru katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil berat tahap kesihatan rakyatnya dengan menyokong dan mengalu-alukan program seperti Karnival Pemakanan Sihat yang diadakan di daerah ini.

“Ini adalah kerana kita percaya program sebegini dapat memberikan banyak manfaat kepada masyarakat dari segi kesihatan, seterusnya berupaya menyumbang kepada kemajuan serta kemakmuran negeri keseluruhannya.

“Semua lapisan masyarakat di negeri ini amnya dan warga Sipitang khususnya perlu mengambil peluang ini demi meningkatkan kesedaran dalam amalan gaya hidup yang sihat demi kebaikkan dan kesejahteraan bersama,” katanya.
Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang berkata, beliau melihat aspek kesihatan dalam kehidupan kita seharian sebagai salah satu aset yang amat penting dan harus diberikan perhatian sewajarnya.
Oleh itu katanya, pelbagai program telah dilaksanakan bagi memberikan pendedahan tentang kesihatan khusus untuk memberikan kesedaran dan tanggungjawab menjaga kesihatan demi kesejahteraan hidup masyarakat disini.

“Percayalah, kesihatan yang baik juga dapat menjamin keharmonian kehidupan kita sekeluarga.

“Kejahilan kita tentang pentingnya menjaga kesihatan dan sikap kurang mengambil berat soal kesihatan diri akan menyebabkan pelbagai risiko penyakit yang lebih serius kerana dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya.

“Kita tidak boleh beranggapan bahawa tubuh kita sentiasa kebal dan akan sentiasa sihat selalu dan memandang remeh akan sakit yang sedikit itu, ” katanya.

Justeru itu, amat penting masyarakat mengambil berat tentang aspek kesihatan diri dan sentiasa merujuk kepada klinik kesihatan terdekat untuk mengetahui tahap kesihatan diri masing-masing.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview