Mat Sabu Sebak Kenang Pengorbanan Warga ATM

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu tidak dapat menahan kesedihan apabila mengenangkan pengorbanan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak mereka demi tugasan di perbatasan negara bersempena Aidilfitri ini.

Beliau sebak ketika sedang berucap pada majlis penyampaian sumbangan bungkusan Aidilfitri untuk Anggota ATM di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

“Kita kenangkan ini kerana tentera kita berada di perbatasan negara menjalankan tugas untuk kepentingan dan keselamatan negara… oleh itu, pengorbanan perajurit ini hendaklah disanjung oleh semua pihak.

“Para perwira dan perajurit kita akan terus bertugas dengan mengetepikan kepentingan diri dan keluarga walaupun dalam suasana hari raya yang bakal kita sambut tidak lama lagi,” katanya.

Suasana dalam dewan yang sebelum itu penuh dengan gelak tawa dengan reaksi spontan Mohamad yang berucap menjadi senyap apabila warga ATM yang hadir melihat beliau sebak.

Sebelum itu juga, Mohamad turut mencuit hati warga ATM apabila buat pertama kali berucap mengikut teks ucapan rasmi majlis itu yang disediakan apabila beliau secara berseloroh berkata “dulu biasa ceramah, pakai teks payahlah. Empat puluh tahun ceramah tanpa teks”.

Terdahulu, sebanyak 48 agensi yang terdiri daripada badan korporat, badan berkanun, syarikat swasta dan persatuan sukarela menyumbang bungkusan Aidilfitri kepada ATM yang keseluruhannya bernilai RM1.6 juta.

Selain itu, ATM juga menerima wang zakat antaranya daripada Lembaga Tabung ATM sebanyak RM575,000 dan Koperasi ATM Berhad RM350,000.

Turut hadir majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang.


© 2018 Malaysianview