MB Kedah Yakin Pengundi Muda Sokong BN Demi Masa Depan

ALOR SETAR, 21 Mac  — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yakin kira-kira 500,000 pengundi muda di negeri itu akan menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan masa depan mereka terjamin.

Beliau berkata generasi muda sekarang bijak menilai untuk membuat keputusan demi masa hadapan diri dan keluarga mereka walaupun ada pihak yang cuba memburukkan BN.

“Generasi muda sekarang mempunyai pandangan dan pemikiran yang jauh… jadi mereka akan terus sokong UMNO dan BN untuk menerajui kepimpinan negara dan negeri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pendidikan MARA (EDUXTRA) Zon Utara di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata sebuah Institut Kemahiran MARA (IKM) dirancang dibina di Bukit Kayu Hitam berikutan kawasan tersebut bakal menjadi tumpuan selepas pembangunan projek Bandar Bebas Cukai (BBC) dilaksanakan.

“Sebelum ini IKM ada di Alor Setar, Sungai Petani dan Sik dan tempat yang dilihat sesuai untuk bina IKM baharu adalah di Bukit Kayu Hitam kerana kita lihat jumlah penduduk akan bertambah selepas BBC dilaksanakan,” katanya.

Berita Berkaitan


© 2018 Malaysianview